Tuesday, November 16, 2010

`Salam Eidul Adha dari Nisa' Serdang`

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Allahu Akbar Walillahil Hamd

Puji-pujian selayaknya buat MAHA Pencipta, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Ana, mewakili seluruh soff kepimpinan Nisa' Serdang ingin mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua warga Nisa' Serdang, pimpinan DMPK Serdang, buat sahabat Nisa' kawasan, Nisa' Negeri dan pada muslimin dan muslimat di seantero dunia. Doa dan harapan, semuanya dalam nikmat ISLAM, IMAN dan Ihsan...insyaallah.
Firman Allah taala dalam Surah al-Hujurat, ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Sehubungan dengan raya KORBAN, sama-sama kita ambil ikhtibar dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah SWT menyembelih anaknya Nabi Ismail dan ketaatan anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT. Disamping itu juga ketabahan hati seorang ibu dan juga isteri iaitu Siti Hajar juga jangan sekali-kali kita lupakan.

Melihatkan dunia yang makin hari makin sakit, dengan petanda-petanda yang mula melata di seluruh pelusuk dunia, diri ini mengingatkan sama-sama agar kembali ke fitrah. Kembali dengan kata menunaikan tuntutan sebagai khalifah di bumiNya. Kembali dengan mengamalkan ISLAM sesempurna mungkin. Kembali dengan akhlak Islamiyah serta syariat yang telah digariskan.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللهِ الْإِسْلامُ ِ "Sesungguhnya yang agama di sisi Allah ialah Islam." ( ayat 19, al Imran).

Justeru, jelas lagi terang ISLAM adalah agama yang syumul, yang perlu dipertahankan dan ditegakkan bukan lagi diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak. Islam bukan pada nama, tetapi lengkapi ISLAM dengan melitupi dari segenap aspek rutin harian, berikhtilat, bermuamalat dan sebagainya. Kita masih punya hutang yang berbaki, yakni dengan mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran ' amar ma'ruf, nahi mungkar' dengan memastikan agama ISLAM bukan boleh dipijak, namun wajib diJULANG dan disemad dalam hati dari dulu, kini dan selamanya.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama mengambil roh korban, dan semangat Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail alahimassalam, sebagai nadi untuk meneruskan wasilah perjuangan sebagai hambaNya dengan menyusun atur gerak kerja agar lebih tampak tersusun dan bersistematik. Selamat menyemat tag fisabilillah dalam setiap gerak langkah kehidupan dan memasakkan istiqomah di jalan dakwah.

Salam Eidul Adha 1431 H, maaf dipinta dari soff pimpinan Nisa' Serdang.

Monday, November 15, 2010

adab menyambut kelahiran bayi

Adab Menyambut Kelahiran Bayi
Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi diantaranya:

Disunatkan mengucapkan tahniah
Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata. Amalan ini disuruh kerana menghibur saudaranya selain itu amalan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesahteraan kepada saudaranya dan anak yang baharu dilahirkan oleh isterinya. Antara doanya ialah:
“ Semoga Allah memberkati kurnianNya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa hadapannya
Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita menyahutnya dengan ucapan

“ mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas engkau.
Disunatkan azan dan Iqamah
Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang memperolehi cahata mata (anak) maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqmahkan di telinga kiri, nescaya terlepaslah darinya angin tiupan syaitan”



Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindung daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan itu jika lakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.


Melakukan Tahnik atau membelah mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah
dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku” amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.



Mencukur rambut
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.

Berkhatan
berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”



Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi).



Manamakan anak
Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.



Ditukil dari buku Panduan Menyambut Kelahiran Bayi
Oleh Ja’far Al- Mathari Bin Abdul Rahman
Jasmin Enterprise


Friday, November 12, 2010

Tahniah atas kelahiran puteri & putera



~Alahmdulillah.. Tahniah atas kelahiran
 puteri Sakinah & Samawi~ bersama juga  putera Puan Masyfua'h & Ust. Nordin
Pn. Sakinah sahabat NISA' Serdang & Masyfu'ah Mantan UPI, Nisa' Serdang yang telah selamat melahirkan puteri & putera comel ..

Sakinah Ahmad Akhri : selamat melahirkan Puteri sulong pada  12/11/2010 4.30pagi di HKL

Masyfu'ah Mokhtar : selamat melahirkan putera sulong pada 13/11/2010 3.30pg..


Wednesday, November 10, 2010

usrah: Di atas Jalan DAKWAh...kita perlukan bekalan.

alhamdulillah, puji-pujian selayaknya dikalungkan buat MAHA Pencipta ..alhmadulillah, semalam 9 November 2010, liqa' mahabbah tercipta. syukran pada yg hadir ke Usrah Nisa' Serdang utk sesi II, manhaj baru setelah buku yg 1st sudah khatam.. ;)

masyaAllah, bertali arus kehadiran shbt.. bermula jam 8.20pm, isyak berjemaah- Imamah oleh shbt Emiza a.k.a  kak a'an yg comel dan baik hati ye..hihi..lantas halaqah dibentuk utk membacakan matsurat. usai bacaan matsurat bergema dlm bilik ni.. pengerusi memulakan kalam dgn membuka majlis Al fatihah.naqibah pada malam ni adalah : Pn. Nor Fatihah Mohd Yusoff. tafaddalli.. =)

berikut beberapa point utama utk bab 1
Di atas Jalan DAKWAH..kita perlukan bekalan. antara bekalannya ialah :

1) Bekalan IMAN & TAQWA.. disulami perasaan ma'iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama ALLAH)

Sungguh Allah beserta orang-orang yang beriman". ( Al-Anfal:19)

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al Nah 127-128)

2) berJIhad & beKorban di jalan DAKWAH - jiwa, harta, tenaga, fikiran, masa

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh... ( at Taubah 111)

3) istiqomah yakni keteguhan & ketetapan drpd ALLAH

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. ( surah Ibrahim : 27)   
4) perlukan SOKONGAN ikatan Ukhuwwah & jalinan KASIH SAYANG

Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al Hujurat : 10)

5) amalan-amalan & utamakan syari'at ALLAH

واَعْتصِمُواْ بِحَبْلِ الله جَمِيْعًا وَلاَ تَفَـرَّقوُا وَاذْ كـُرُو نِعْمَتَ الله عَلَيْكُمْ إٍذْكُنْتُمْ أَعْـدَاءً  فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلـُوبِكُمْ  فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنْتُمْ عَلىَ شَفاَ خُـفْرَةٍ  مِنَ النَّاِر فَأَنْقـَدَكُمْ مِنْهَا كَذَالِكَ يُبَبِّنُ اللهُ لَكُمْ اَيَاتِهِ لَعَلـَّكُمْ تَهْـتَدُونَ ’{ال عـمران 103}

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah   dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu  maka kamu menjadi bersaudara sedangkan kamu diatas tepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat ayatnya  agar kamu mendapat petunjuk”


6) ILMU yg bermanfaat

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". ( surah Taha :114)

7) setia dengan Janji 

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
(al Imran : 76)



akhir kalam... adakah antunna sentiasa menyiapkan diri dgn BEKAlan di atas? sama-sama tepuk dahi.. tanya sendiri ;) moge kita terus menjadi insan yg dipilihNya utk meniti di atas jalan yg bernama D.A.K.W.A.H.
bersama 'PASAKKAN istiqomah di JALAN DAKWAH' ameen..!
kupasan helaian buku Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah : Mustafa Masyhur. 
al-mukhlisoh : ss  

Sunday, November 07, 2010

kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.



Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)?

Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.


sumber dari : http://inijalanku.wordpress.com