Friday, April 29, 2011

Jodoh : Mencari atau Menunggu

Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.
Persoalannya, "Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"
Pada mulanya saya tersenyum.
Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.
Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.


Ramai yang keliru
Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.
Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?
Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.
Mereka hangat bercinta.
Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.
Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.
Namun, mengapa semua ini berlaku?
Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?
Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?


Jodoh – suatu ketentuan?
Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.
Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?
"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]
Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.
Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),
Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir (Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk, semuanya dari Allah jua."
Lelaki itu berkata: "Tuan benar.
[HR. Muslim]
Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.
Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?


Usaha yang sebenarnya
Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.
Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.
Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.
Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.
Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?
Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.
Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.
Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.
"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim]
Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.
Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?
Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.


Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.
Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?


Jika sudah mampu
Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.
Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.
Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.


Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri
Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?
Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.
Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.
Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?
Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.
Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,
"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26]
Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.
Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.
Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.
Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.
Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.


Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?
Sudah tentu tidak.
Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.


Jika redha Allah yang dicari...
Sudah nampak apa yang harus dilakukan?
Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).
Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.
Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?
Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.
Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.
Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?
Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.
Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .
Katakanlah,
'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

Friday, April 22, 2011

Pahala Terakhir Seorang Isteri


*Buat renungan dan peringatan kita bersama, selamat beramal =)

Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya mengalir di pipi. Saya akan bermunajat dan memohon keampunan darpada Allah.

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba dipupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.

Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua, di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tidak keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami. Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumah tangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.



Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya. Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa.
 
Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata untuk melayani Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumah tangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami.
 
Sebagai seorang pekerja yang juga sibuk di pejabat, ada kalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya. Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah dalam keluarga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.
 
Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapapun. Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang, saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah, Penat dan letih tidak dapat digambarkan.
 
Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain-main dan bergurau-senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-rnasing penat.
 
Suami sedar saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut di pinggir bandar. Dengan senang hati saya dan anak-anak menyetujuinya.
 
Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya, kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik. Seperti tiada lagi hari untuk esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu.

Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil. Anak-anak yang kekenyangan dan mengantuk segera lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur.
 
Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.
 
Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali - panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dengan kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke hospital, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya, dan saya tidak sempat bertemunya.
 
Meskipun reda dengan pemergian suami, tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di dunia ini. Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak reda terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.
 
Sabda Rasulullah s.a.w; "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya."
 
Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir di pipi. Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah. Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya. Itulah harapan saya... semoga Allah perkenankannya.


Sumber: Nur 07, 2003

bicara dari hati syira : www.sissyira.com

Monday, April 18, 2011

Orang Yang Terbaik



 "Yang terbaik diantara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya."
                                                     (Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nisai dan Ibnu Majah)


[ Home Base Quranic Class ]  



assalammualaikum wbt

UPI Nisa Serdang dgn kerjasama Tahsin Tilawah Bestari 
(http://tahsinbestari.com) Insya'ALLAH bakal menganjurkan Home Base Quranic Class. Tenaga pengajar adalah dari kalangan Nisa Serdang sendiri.

Kelebihan menjadi tenaga pengajar:
1. Mendapat redha ALLAH, Insya'ALLAH
2. Dapat membaiki kualiti bacaan Quran kerana tenaga pengajar wajib mengikuti kursus mengajar dan belajar Quran yang dikendalikan oleh pihak yang diiktiraf dan mempunyai sanad Al-Quran; Tahsin Tilawah Bestari. Kursus/latihan asas Insya'ALLAH pada 7/8 Mei 2011. Tenaga pengajar juga akan di tasmik dahulu untuk memastikan mereka benar-benar mahir dan menguasai Al-Quran.  Selain itu kelas pemantapan meliputi ilmu bacaan Quran (tajwid, makhraj huruf, etc..)  juga akan kita pelajari secara berkala setiap 2 minggu I'ALLAH.
3. Membantu melahirkan hamba ALLAH yang dekat dengan Quran
4.
Memperoleh pendapatan tambahan hasil upah mengajar Al-Quran
5. Membantu masyarakat setempat mencintai Al-Quran. Hasil pemerhatian, ramai rakyat Bangi mencari-cari ustaz/ustazah untuk  mengajar Quran anak yang kecil hinggalah yang dewasa. 
Di sini lah kita berfungsi..


Method perlaksanaan:

Data base Ustazah-ustazah --> kursus asas --> Iklan Home Base Quranic Class --> Rakyat Bangi request perkhidmatan --> PIC UPI menjadi orang tengah --> Mengajar Quran --> kelas pemantapan setiap 2 minggu di tahsin Tilawah Bestari --> Mardhatillah


p/s: Masa mengajar dan jumlah upah bergantung kepada budi bicara masing-masing. Diperingkat kami, kami mencadangkan
RM 20/jam. Mungkin boleh lebih atau kurang.. bergantung kepada kemampuan ntum dan mad'u kita..

Setakat ni kali ini..
Utk yang berminat boleh hubungi  
Hajar (0137133447) atau kak Shanaz (0125980701) sebelum 30 April 2011. Tolong sertakan sekali coverage kawasan yang antuna boleh datang mengajar.
Jazakumullahu khairan kathira

Tuesday, April 05, 2011

Ziarah NISA : Saida Farhana Sarkam Selamat Pulang ke Rumah

Kes kemalangan sahabat NISA, Saida Farhana Sarkam di Johor pada 13 Mac 2011 semasa pulang dari menghadiri majlis perkahwinan kakaknya amatlah mengejutkan sahabat-sahabat NISA Serdang.

Beliau yang cedera telah selamat menjalani pembedahan memasukkan besi di kaki kirinya pada hari Rabu, 30 Mac 2011 lalu.

Rombongan dari NISA Serdang untuk menziarahi sahabat telah diaturkan pada hari Ahad, 3 April 2011. Huda Sakinah, Nabilah dan Miza telah bertolak dari Bangi pada pukul 9.05 pagi dan selamat sampai di rumah Saida pada jam 12.30 tengahari.

Saida baru sahaja sehari pulang ke rumah setelah hampir 3 minggu berada di Hospital Batu Pahat. Pengalaman terlibat dalam kemalangan bersama ahli keluarga lain serta pembedahan memasukkan besi di paha kiri turut dikongsi bersama sahabat-sahabat yang datang menziarah.

Walaupun sedikit keletihan, dan berasa pening akibat duduk lama di sofa, Saida tidak lokek bergurau dan bersembang melayani tetamu. Kami sempat makan tengahari bersama Saida sebelum Saida meminta izin untuk berehat di bilik kerana berasa sakit di kepala.

Balutan dari pembedahan akan dibiarkan sehingga 16 April untuk dibuka. Sahabat-sahabat NISA mendoakan Saida cepat sembuh dan kembali ke Bangi untuk bersama-sama kami di sini. Semangat Saida yang berkobar-kobar sentiasa terngiang-ngiang di fikiran sahabat-sahabat di sini dan gurau sendanya sentiasa dirindui.

Selamat beristirehat. Semoga kesempatan yang Allah beri ini, memberi kekuatan  dan impak terbaru untuk kembali menyambung perjuangan di sini. 

UKS sepi tanpamu... *Adikmu Aisyah, yang kata hehehe*

Monday, April 04, 2011

Inspirasi Kajian Saintifik dari Al-Quran

 
Di antara keajaiban al-quran yang selari dengan bukti keagungan ALLAH  ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat: 



Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. (Al-Hijr: 19)

dan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan:


Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira (Ar Rum: 48)



Terkini, apabila Teori Letupan Besar (Big Bang) oleh mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan Teori Steady-State oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini. 


Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?  (Al Anbiyaa’: 30)

Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, ratq bermaksud ‘bercantum’ dan fataq yang bermaksud ‘memisahkan atau membelahkan’. Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori letupan agung kerana ianya sudah dinyatakan di dalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.


Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki. Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah.