Tuesday, May 19, 2009

Terima kasih abah (sempena hari guru)

oleh: Sdri Aziah

Hampir suku abad 'pengembaraan' seketika ini dilalui. Pastinya insan bernama guru antara manusia paling banyak telah mencorakkan warna-warna dalam hidup saya. Namun antara pendidik yang paling memberi bekas dalam hidup saya, abah. Alhamdulillah, saya antara anak-anak abah (12 orang) yang cemerlang dalam pengajian alQuran. Seusai usia 8 tahun, saya telah menamatkan 30 Juzuk; kalam Rabb yang Maha Suci. Abahlah orang yang bertanggungjawab dalam memberi pendidikan alQuran kepada saya. Saya juga merupakan 'batch pertama' yang terakhir dalam adik beradik yang mendapat pendidikan alQuran dari Abah sepenuhnya. Selepas saya, adik-adik mengaji dengan mak selepas abah banyak komitmen lain. Mereka dikatakan bernasib baik apabila mendapat 'guru' lain sebab memang 'azab' mengaji dengan abah. Walaupun saya anak perempuan, dalam soal pendidikan abah takde perbezaan, lebih-lebih lagi dalam bab mengaji ni.

Kalau hari cuti (weekend)@cuti sekolah, mungkin budak-budak sekarang sibuk dengan kelas intensif pelajaran akademik tapi kami adik beradik disibukkan dengan kelas intensif mengaji (Abah dah lama buat kempen Mari mengaji)pada masa itu. Tapi hari ini saya banyak mengungkap syukur, melafaz hamdalLah kerana ketegasan Abah dalam memberikan pendidikan alQuran kepada kami adik beradik. Bahkan kalau kita merujuk kepada penurunan wahyu pertama juga mengisahkan ketegasan Jibril meminta Rasulullah mengikut apa yang dibacanya dan diulang2. Kerana ia bukan syair, bukan karya sastera tapi ia mukjizat yang kekal sampai hari Qiamat.Kisah ini ingin saya kongsi kerana keadaan masyarakat kita hari ini yang buta membaca alQuran (kalau buta Quran, skopnya lebih luas).

Kini saya juga mengembangkan ilmu yang saya perolehi dari Abah. Saya merenung, jika para Sahabat generasi awal adalah 'Generasi alQuran' kerana kehidupan mereka yang bersandarkan sumber utama Islam ini dalam kehidupan mereka. AlQuran hidup pada zaman mereka, tapi kini masyarakat kita? Huruf pun tidak kenal. Maka bagaimana untuk kita rekayasa pembangunan modal insan? Kalau memang ada anak-anak diminta diajari alQuran, ia bukan dianggap sebagai suatu kewajipan yang dituntut sebagai seorang Muslim.Pengajian alQuran seperti subjek-subjek di dalam kelas yang patut dihabiskan silibusnya (Khatam 30 juzuk), bukan untuk diulang baca menjadi penawar. Bahkan jauh sekali menjadi panduan dan rujukan. Khatam alQuran itu menambah kredit seseorang pada zaman moden ini, bahawa akan dikata orang dia pernah khatam alQuran tetapi apabila disuruh baca, batang kayu lagi lembut dari lidah untuk menyebut.Bagaimanal ah keadaannya, 10 tahun akan datang (Dahlah tulisan jawi telah dihapuskan). Bersempena hari bermakna untuk seluruh warga pendidik, 'Selamat Hari Guru' saya ucapkan kepada semua pendidik yang telah mendidik saya terutama abah yang mengenalkan saya dengan alif, Ba dan Ta.

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih.

No comments: