Friday, August 21, 2009

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar


Tanggal 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Persidangan Pertubuhan Islam atau lebih dikenali dengan OIC lahir kerananya. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok dan mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin). Api marak dengan dasyat sekali seolah-olah seluruh Masjidil Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael. Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Michael ‘gila’. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabk an atas kejadian tersebut. Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu 21 Ogos setiap tahun menjadi Hari Al-Quds sedunia. yang disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa yang dibakar. Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam terhadap masjid Al-Aqsa yang disucikan. Begitulah nasib tanah suci Umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Isu Palestin merupakan isu ‘Akidah yang selayaknya dipertanggungjawabk an bagi sekalian umat Islam kerana kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai tanah suci ketiga dalam Islam, Kiblat pertama umat Islam, Tanah Anbiya’ dan pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkam dalam Hadis Rasulullah. Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya dari tangan umat Islam. Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.

Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin. Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk mewar-warkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam. Kita berharap progam ini akan menggerakkan masyarakat yang sedar untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka yang berkorban dan berusaha keras mempertahankan Islam, tanahair, kesucian dan maruah umatnya.
Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat dunia. Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjidil Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah dirampas terus keseluruhannya secara haram oleh rejim Zionis.

Justeru, bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun dan sambutan kemerdekaan Negara ke-52 ini, adalah amat wajar untuk kita sama-sama mengajak masyarakat sekeliling menginsafi erti kebebasan dengan merencana langkah strategik, efektif dan praktikal lagi kreatif demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin dan keamanan sedunia.
Antara aktiviti-aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini adalah seperti ceramah umum, seminar, demonstrasi damai, penerbitan filem, buletin, video CD, persembahan seni seperti teater, nasyid, dan festival seni dan pameran kesedaran di tempat awam yang strategik di masjid-masjid, sekolah-sekolah termasuk gedung membeli-belah dan sebagainya.

Sumber Asal Artikel dipetik dari : http://21-8.blogspot.com

No comments: