Kamu... mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu Al-quran dan hadith.
Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri.
Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah
dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua
mengetahuinya." - Al-Baqarah, 42
Wahai para dai'e,
Dengarlah rintihan dan permintaan dari kami ini, agar kami boleh
memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak
ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan
dorongan, sedikit anjakan dari kamu, dan peringatan agar kami tidak
kembali lalai.
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang
menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang
salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah
orang-orang yang berjaya." - Ali-Imran, 104
Wahai para dai'e,
Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan
mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi
kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil
berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki
diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.
"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah
akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan mansusia
maka manusia pun akan mencintaimu." - H.R Ibnu Majah dll dgn sanad hassan
Wahai para dai'e,
Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap
kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami, bantulah kami
membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan
ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.
Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit
jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat.
Seperti mana Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sama ada air laut
itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab
"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal" - H.R Malik, al-Syafi'e
Wahai para dai'e
Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan
yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan
mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah
dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat
kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua
membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Al-Baqarah, 44
Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka
tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara
kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...
"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." - Ad-Dhuha, 11
No comments:
Post a Comment