Aurat wanita adalah seluruh anggota
tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya
adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai.
Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan
dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini
berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya” [An Nur:31].Yang di maksud (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "Janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan". [Lihat Abu Bakar Al Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316]. Selanjutnya,
kalimah (kecuali yang (biasa) nampak darinya), ini bermaksud ada
anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak
tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas,
Ibnu Umar dan juga Aisyah.Ibnu Jarir At Thobari (wafat 310H)
menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami' Al Bayan fi Tafsir Al Qur`an
Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa)
nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang
paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang
dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan. Pendapat
yang sama dinyatakan Imam Al Qurtubi dalam kitab tafsirnya Al Jamia li
Ahkam Al Qur’an, Juz XII hal. 229. Jadi, apa yang biasa nampak darinya
adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah
yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi S.A.W
sedangkan Baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang
nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di
masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Quran.Dalil
lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat
kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada
Asma’ binti Abu Bakar, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang
wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya
menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan
telapak tangannya” [HR Abu Dawud] Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life) Yang
dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu
berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan
masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya
terdiri dari dua jenis iaitu :
- libaas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan;
- libaas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang
wanita itu boleh berada dalam kehidupan umum seperti di jalanan, di
pasar-pasar, pasar raya, kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan
seumpamanya. Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan
firman Allah, “Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka
melebarkan jilbabnya” [Al Ahzab:59].
Oleh sebab Al
Quran berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab,
maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam
bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti
apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian
yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu,
perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak
hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.
Jadi, apakah
makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis
tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita
juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna
“jilbab”. Dalam kitab Al Mu’jam Al Wasith karya Dr. Ibrahim Anis
[Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats tsaubul musytamil ala al jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats tsiyab kal milhafah
(pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah
(seperti jubah), atau al mula’ah asy tamilu biha al mar’ah (pakaian
luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan
pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah
mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah
ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab)
adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar lalu dilebarkan
sehingga ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian
atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau
apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi
seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [An Nur:31].
Pakaian
jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang
telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan
melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab
dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju
ke kehidupan 'am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh
(haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis
pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya
dalam semua keadaan.
Mana-mana wanita yang telah baligh dan
melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak
mendapat seksa Allah di akhirat nanti.
Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)
Yang
dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang
wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota
keluarganya yang lain. Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya
di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya
atau di dalam kenderaan peribadi, syara' tidak menentukan bentuk/fesyen
pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya
dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya, “wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An Nur:31]
Atau sabda Nabi, “lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi,
pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan
dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia
adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di
bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis
pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat
dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi
bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan
dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi
pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak
diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat.
Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga
nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna
merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan
penutup aurat dan haram hukum memakainya.
**bersambung.