Friday, December 05, 2008

Salam Aidil Adha



Assalamualaikum warahmatullah...

Alhamdulillah syukur dirafa'kan ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah s.a.w. Setulus doa dipanjatkan ke atas seluruh muslimin muslimat, pejuang-pejuang Islam di merata dunia, yang masih hidup mahupun telah pergi menemui Ilahi.

Sahabat-sahabat, pengunjung blog Nisa' Serdang yang dimuliakan...sedar tak sedar kita sedang menghampiri 10 Zulhijjah 1429. Terasa cepat masa berlalu, seakan baru melewati Aidiladha yang lalu. Masa semakin pantas bergerak. Detik-detik waktu semakin laju meninggalkan kita dan usia yang dipinjamkan ketika ini semakin mendekatkan kita pada penghujung hayat. Sesungguhnya pinjaman masa yang pernah singgah tidak akan kembali lagi. Bagaimana hidup kita ketika ini? Baikkah? Sihatkah? Atau sakitkah? Begitu juga dengan amalan-amalan sepanjang hayat buat bekalan menemui Rabbul Izzati kelak? Sudah cukupkah persediaan menghadapi kematian yang belum tentu bila saat tibanya?

Syukur, hingga saat ini kita masih mampu menghirup udara kurniaan Ilahi yang diberi percuma. Syukur, kaki kita ini masih mampu melangkah. Syukur jari-jemari ini masih mampu menulis butir-butir kata. Syukur, mata ini masih mampu melihat ciptaan-ciptaanNYa. Syukur tubuh badan ini masih sihat. Syukur, kita masih diberi peluang menikmati hidup, masih diberi kesempatan utk beramal sebanyak-banyaknya.. masih diberi peluang bermuhasabah, menginsafi kekhilafahan diri... masih dibukakan seluas-luasnya pintu keampunan. Syukur, syukur, syukur lagi.

Wahai sahabat-sahabat.. mari kita sama-sama muhasabah, dan berazam untuk memperbaiki diri. Kita kenang kembali pengorbanan para Nabi, dan para sahabat dalam perjuangan menegakkan Deenul Islam. Sesungguhnya Islam yang kita miliki dengan mudah pada hari ini, adalah susah payah, titik peluh, air mata dan darah yang mengalir hasil perjuangan dan pengorbanan para Nabi, Rasulullah s.a.w, para sahabat, syuhada' dan pejuang2 Islam yang terdahulu. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi muslim mukmin yang terbaik, yang mengikhlaskan hidup ini semata-mata keranaNya, mempersembahkan corak hidup yang diterima sebagai amalan mulia dan tinggi disisiNya, agar kepulangan kita kepadaNya nanti adalah kepulangan sebagai "jiwa-jiwa yang tenang lagi diredhai". AMEEN.

Salam Aidil Adha dari kami, warga Nisa' Serdang.

Tuesday, December 02, 2008

Mereka yang pergi, kita yang tinggal

'Notice board’ di rumah serasa dah tak muat lagi untuk menempatkan kad-kad undangan majlis perkahwinan. Rasa gembira dikongsi untuk si bujang-bujang yang bakal meninggalkan zaman solonya. Namun kunjungan ke Rumah Allah berdekatan rumah lewat beberapa hari yang lalu, meruntun jiwa dan mengundang rasa yang berbeza. Rasa insaf, rasa khauf. Hati kecil berlagu hiba mohon diri jauh daripada lalai dan dijauhkan daripada penyakit-penyakit jiwa. Astaghfirullah....Astaghfirullah.....Astaghfirullah.

Dalam kemeriahan cuti persekolahan dan undangan perkahwinan, diharap Dzulhijjah yang bakal bertamu tidak dilupakan. Kisah seseorang bapa diuji keimanannya dengan perintah untuk mengorbankan anak kandungnya untuk disembelih dan si ibu juga diuji ketaatannya untuk merelakan segalanya berlaku, hanya untuk Dia, hanya keranaNya, menuntut kita merenung dan memahami falsafahnya.

Rombongan- rombongan terakhir bakal meninggalkan kita di sini, bakal menjadi tetamu-temau Allah pula. Di sana, di bumi penuh barakah, di bumi kelahiran Rasulullah s.a.w. Moga azam untuk pengabdian sepenuhnya kepadaNya menjadi cita-cita setiap bakal haji dan hajah, semoga mendapat haji yang mabrur. Bukan untuk gelaran haji dan hajah, bahkan jauh sekali untu melancong dan ber’shopping’. Cukup-cukup sebelum ini, pangkat yang dikejar, harta yang dicari sehingga kita lupa dengan al-Khaliq. Sehingga al-Wahn menjangkiti kita, penyakit yang amat dibimbangi Rasulullah s.a.w terhadap umatnya. Luruskan niat, tanamkan azam untuk melakukan yang terbaik sebagai tetamu Allah. Bukan sedikit yang dipertaruhkan untuk menjadi calon-calon tetamu Allah. Terutama buat para ayah ibu yang uzur, buat mereka yang menggadaikan tanah dan harta, buat mereka yang meninggalkan waris-waris yang masih kecil. Perlu dimaknakan semuanya, agar ia berbaloi. Kami datang kepadaMu, kami datang menyerah diri sepenuhnya.

Buat kita yang tinggal, apa yang perlu dilakukan? Sembelih lembu? Sembelih kambing? Sembelih unta? Memadai keimanan Ibrahim a.s, ketaatan Hajar dan pengorbanan Ismail a.s perlu dihayati sedemikian? Peristiwa Qurban mengenalkan kita kepada tiga watak utama ini. Cerita sebuah keluarga untuk menjadi pedoman kepada yang bakal berkeluarga dan baru berkeluarga. Bagaimana pembentukan institusi keluarga hari, peranan ayah, peranan ibu dan peranan anak dalam sebuah keluarga. Sesak dada melihat kepincangan dan keruntuhan institusi penting ini.

Adakah ayah hari ini menjadi Ibrahim a.s yang sedia menuruti perintah Rabbnya dalam apa jua keadaan pun. Perintah untuk menyembelih anaknya dituruti tanpa bangkangan walaupun baru berjumpa dengan si anak yang sudah lama ditinggalkan bersama ibunya di padang pasir yang gersang. Demi Allah, demi Dia yang menciptakan. Adakah ayah-ayah hari ini mengajarkan anak-anaknya mengenali huruf-huruf dalam kalam Allah, adakah ayah-ayah hari ini sanggup memukul si anak apabila si anak meninggalkan solat. Ya, keperluan material dipenuhi tetapi bagaimana keperluan rohani ‘kain-kain putih’ ini, adakah dicorakkan dengan acuan Islam? Anakku…begini rukuk, begini sujud, begini membaca al-Fatihah kerana kita adalah hamba, hamba kepada Rabb, yang menciptakan kita sesempurna kejadian. Jika ini pun tidak dilakukan bagaimana peranan seperti Ibrahim a.s ini dapat diikuti?

Adakah Hajar sudah mati hatinya, sanggup membiarkan anak yang dikasihi dikorbankan? Hajar model isteri yang taat, model ibu yang terbaik kerana dia tidak pernah membelakangkan Rabbnya. Semua dihadapi dengan redha dan sabar. Anak itu pinjaman, anak itu amanah bukan milikan sempurna seorang hamba sehingga membelakangkan Allah. Hajar bukan ibu yang menyesatkan kerana dia tidak menghalang sekalipun menghasut sang suami untuk meninggalkan perintah Allah sebagaimana iblis yang pula jatuh kasihan terhadap Ismail dengan penuh kepura-puraan. Dia ibu cekal yang di dadanya penuh iman, dia percaya bahawa mereka sekeluarga sedang diuji. Wujudkah klon Hajar hari ini? Yang cekal hatinya ditinggalkan di tanah tandus bersama bayinya kemudian diuji lagi dengan perintah penyembelihan terhadap putera yang dijaganya sendirian sehingga besar. Bandingkan ibu-ibu hari ini dengan Hajar yang penuh waja. Kasih sayang ibu-ibu hari ini, kebanyakkan menjadi racun kepada anak-anak. Pakaian, makanan dan gaya hidup perlu ikut peredaran zaman. Segala kehendak anak perlu dituruti. Biar anak pandai ballet,pandai menyanyi tapi tidak tahu menyebut kalam Allah tidak mengapa. Ibu adalah contoh, ibu adalah tunggak keluarga. Bagaimana ketam nak ajar anak jalan tegak kalau dia jalan pun senget.

Waris-waris kepada para ibu bapa adakah dapat mencontohi Ismail a.s merelakan diri menjadi korban kerana ia suatu perintah dari Rabbul Jalil. Dia tidak derhaka kepada Penciptanya dan dia anak saleh buat ibu dan ayahnya. Anak-anak hari ini, penuh ’A’ dalam sijil sekolahnya; UPSR, PMR mahupun SPM tapi kosong ’A’ untuk akhlaknya. Cuti sekolah adalah masa untuk berehat, masa untuk berjumpa kawan tapi bukan masa untuk berbakti kepada ibu dan ayah. Rumah bagai penjara, melihat muka ibu dan ayah serasa sengsara. Anak-anak hari ini miskin, miskin budi, miskin akhlaknya dan sakit jiwanya.Oh! bagaimana masa depan Islam kalau sedemikian generasi pewarisnya. Bagaimana nak melahirkan Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid? Mewujudkan klon salahuddin al-Ayubi. Para pemuda Islam yang hatinya hanya gentar kepada Allah. Keperibadian hebat dalam usia yang masih muda lagi.

Bulan Dzulhijjah renungan buat semua terutama kepada bakal-bakal ayah dan ibu serta para ibu dan ayah muda bahawa anak-anak adalah amanah dan harta kita. Doa anak-anak saleh dan salehah yang bakal menjadi saham di alam kubur. Bagi yang belum berkeluarga, jadilah anak-anak yang punya ikhsan kepada ibu bapa kerana jasa mereka tidak dapat dibalas. Kerana ibu dan ayah hanya ada satu, tiada ganti selepas mereka pergi. Perlu ada keazaman menghayati peranan penting dalam peristiwa Qurban ini. Setiap apa yang dijadikan bukan sia-sia. Bukankah Dia meminta kita berfikir melalui pada kebanyakan ayat-ayatNya, di hujung-hujung kalamNya. Pesanan buat mereka yang pergi dan kita yang tinggal.

"Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya, maka Imaam yang memimpin manusia adalah pemimpin akan ditanya tentang kepemimpi nannya, dan seorang laki-laki (suami) adalah pemimpin atas keluarga rumah tangganya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya, dan perem puan (isteri) adalah pemimpin atas harta suaminya dan anaknya dan dia akan ditanya tentang kepe mimpinannya, dan seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta tuannya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya. Ketahuilah maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.”

(HR.Al Bukhari dari Ibnu Umar, Shahih Al-Bukhari dalam Kitabul Ahkam:

sumber: http://usrahwave.com/site/index.php?option=com_content&task=view&id=233&Itemid=84

Wednesday, September 03, 2008

Nak beli button badge dakwah dan key chain Nisa?

Assalamualaikum wbkt..

Alhamdulillah, Nisa' Serdang mengorak selangkah lagi dalam menghasilkan produk sendiri yakni button badge dan key chain.

Harga seunit button badge ialah RM3.50, diskaun pembelian sebanyak 3 unit hanya RM10 sahaja.


Begitu juga dengan key chain. Harga seunit key chain adalah RM3.50. Beli 3, harga hanya RM10 sahaja.



Button badge dan keychain ini telahpun dijual di gerai Nisa' semasa Hari kesihatan Merdeka yang lalu.


Murah dan menarik kan? Jadi, tunggu apa lagi? Tempahlah sekarang! Hadiahkan kepada sahabat handai, saudara mara, ahli keluarga dan sesiapa sahaja. Hubungi pegawai kewangan kami, Nor Iza Rawi: 0192158300 untuk tempahan.

Saturday, July 28, 2007

// Sebatang bambu

Sebatang bambu yang indah tumbuh di halaman rumah seorang petani. Batang bambu ini tumbuh tinggi menjulang di antara batang-batang bambu lainnya.Suatu hari datanglah sang petani yang empunya pohon bambu itu. Dia berkata kepada batang bambu,

" Wahai bambu, maukah engkau kupakai untuk menjadi paip saluran air, yang sangat berguna untuk mengairi sawahku?"

Batang bambu menjawabnya,
"Oh tentu aku mau bila dapat berguna bagi engkau, Tuan. Tapi ceritakan apa yang akan kau lakukan untuk membuatku menjadi paip saluran air itu."

Sang petani menjawab, "Pertama, aku akan menebangmu untuk memisahkan engkau dari rumpunmu yang indah itu. Lalu aku akan membuang cabang-cabangmu yang dapat melukai orang yang memegangmu. Setelah itu aku akan membelah-belah engkau sesuai dengan keperluanku. Akhir sekali aku akan membuang sekat-sekat yang ada di dalam batangmu, supaya air dapat mengalir dengan lancar. Apabila itu semua sudah selesai, engkau akan menjadi paip yang akan mengalirkan air untuk mengairi sawahku sehingga padi yang kutanam dapat tumbuh dengan subur."

Mendengar hal ini, batang bambu lama terdiam..... , kemudian dia berkata kepada petani, "Tuan, tentu aku akan merasa sangat sakit ketika engkau menebangku. Juga pasti akan sakit ketika engkau membuang cabang-cabangku, bahkan lebih sakit lagi ketika engkau membelah-belah batangku yang indah ini, dan pasti tak tertahankan ketika engkau mengorek-ngorek bahagian dalam tubuhku untuk membuang sekat-sekat penghalang itu. Apakah aku akan kuat melalui semua proses itu, Tuan?"


Petani menjawab batang bambu itu, " Wahai bambu, engkau pasti kuat melalui semua itu, karena aku memilihmu justru karena engkau yang paling kuat dari semua batang pada rumpun ini. Jadi, tenanglah."

Akhirnya batang bambu itu menyerah, "Baiklah, Tuan. Aku ingin sekali berguna bagimu. Ini aku, tebanglah aku, perbuatlah sesuai dengan yang kau kehendaki."

Setelah petani selesai dengan pekerjaannya, batang bambu indah yang dulu hanya menjadi penghias halaman rumah petani, kini telah berubah menjadi paip saluran air yang mengairi sawahnya sehingga padi dapat tumbuh dengan subur dan berbuah banyak.

~Pernahkah kita berfikir bahwa dengan masalah yang datang silih berganti tak habis-habisnya, mungkin Allah sedang memproses kita untuk menjadi indah di hadapan-Nya? Sama seperti batang bambu itu, kita sedang ditempa, Allah sedang membuat kita sempurna untuk di pakai menjadi penyalur berkat. Dia sedang membuang kesombongan dan segala sifat kita yang tak berkenan bagi-Nya. Tapi jangan khuatir, kita pasti kuat karena Allah tak akan memberikan beban yang tak mampu kita pikul. Jadi maukah kita berserah pada kehendak Allah, membiarkan Dia bebas berkarya di dalam diri kita untuk menjadikan kita alat yang berguna bagi-Nya?

~Seperti batang bambu itu, mari kita berkata, "Ini aku wahai Allah, perbuatlah sesuai dengan yang Kau kehendaki."

Friday, March 23, 2007

// Jatidiri seorang muslimah



Dunia terus bergerak ke depan meninggalkan coretan-coretan kenangan pahit manis di dalam sejarah manusia. Melangkah ke abad 21 menyaksikan bagaimana Islam seolah-olah menjadi musuh utama kepada manusia. Keganasan, penindasan, ketidakadilan sosial, diktator dan pelbagai lagi isitilah-istilah yang kurang enak dikaitkan dengan Islam. Dalam masa yang sama, kelompok-kelompok yang menyintai sistem Islam mula diterima di tempat masing-masing. Kebangkitan kelompok pro-Islam di Turki dan Pakistan pada tahun 2002 adalah implikasi tidak langsung kepada tuduhan melulu yang dilemparkan oleh musuh-musuh terhadap Islam ekoran peristiwa 11 September 2001. Justeru, jurang di antara masyarakat dunia semakin melebar. Satu kelompok semakin memusuhi Islam dan satu kelompok semakin menunjukkan sokongan kepada Islam. Di Palestin, semangat kecintaan kepada Islam dan syahid sudah mewarnai gelombang cita-cita anak-anak muda. Kita sudah tidak terkejut apabila mendengar gadis-gadis muslimah meletupkan diri semata-mata kerana jihad. Di tengah-tengah pertembungan yang semakin sengit ini, apakah jatidiri muslimah yang sebenar yang ingin kita bentuk di dalam anak-anak gadis kita hari ini?

GENERASI MUSLIMAH YANG KITA IMPIKAN

Muslimah sama sekali tidak boleh memisahkan diri dari gerakan dakwah. Tidak ada sebarang alasan yang munasabah untuk membiarkan muslimah terceruk di dapur berkawan dengan periuk dan kuali manakala di luar sana anak-anak gadis kita dimurtadkan dan diseret ke lembah kehinaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu para ustazah yang bertudung labuh hanya memandang medan perjuangan ialah di samping keluarga (dan suami tentunya) lantas mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing. Muslimah seharusnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang da’iah. Di dalam Al-Quran, tugas amr makruf dan nahi munkar turut melibatkan muslimah apabila Allah SWT bersabda (yang bermaksud) :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, ayat 71)

Generasi muslimah yang kita cita-citakan ialah generasi yang rela untuk turut membawa obor perjuangan bersama-sama kaum muslimin. Mereka seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut :

1. Ilmu dan thaqofah yang bertenaga dan mantap untuk berdepan dengan permasalahan masyarakat. Kita tidak ingin lahirnya generasi yang hanya pandai bercakap dan menjadi pak turut namun kelu apabila berbicara tentang permasalahan yang berkaitan dengan agama. Seorang muslimah sejati yang bercita-cita untuk muncul sebagai da’iah seharusnya menguasai pelbagai cabang ilmu khususnya permasalahan fiqh yang membabitkan golongan wanita. Kekurangan yang dihadapi oleh umat Islam ialah kurangnya pakar-pakar di dalam ilmu-ilmu yang tertentu mengakibatkan pergantungan yang ketara kepada orang lain yang bukan Islam.

2. Kefahaman yang jitu mengenai selok belok perjuangan dan harakah islamiyyah. Generasi muslimah yang ideal ialah generasi yang dibentuk oleh pentarbiyahan yang berkesan dan melalui marhalah-marhalah tarbiyyah yang telah disusun secara khusus. Marhalah-marhalah ta’rif, takwin dan tanfiz perlu dilalui oleh setiap jundiyy yang ingin berbakti kepada Islam. Bagaimanapun, proses ini bukanlah sesuatu yang mutlak di dalam melahirkan kader-kader pejuang memandangkan ia adalah satu teori yang baru muncul di abad yang lalu. Namun, teori ini dianggap paling sempurna di dalam melahirkan muslimah yang benar-benar mengetahui apakah tuntutan sebenar mereka di dalam harakah islamiyyah yang akan diceburi. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ramai yang telah melalui proses pentarbiyahan akhirnya layu di medan perjuangan yang sebenar.

3. Bersyakhsiyyah dan Berakhlak yang mampu menarik minat dan kecenderungan orang lain kepada dakwah. Seorang muslimah adalah umpama bunga yang berkembang mekar. Keindahan bunga tidak mungkin akan lengkap seandainya baunya tidak enak untuk dihidu. Akhlak itulah umpama bau bagi sekuntum bunga. Di tengah-tengah kebejatan sosial yang melanda umat remaja hari ini, alangkah baiknya jikalau muncul generasi muslimah yang benar-benar iltizam dengan syakhsiyyah islamiyyah.

4. Semangat dan Istiqomah yang bersemarak di dalam jiwa generasi pejuang perlu dibentuk agar setiap usaha yang dilakukan tidak layu di pertengahan jalan. Sesungguhnya sudah ramai sebelum kita yang mempunyai bakat yang hebat dan ilmu yang mantap namun akhirnya gugur di pertengahan jalan. Golongan mutasaqitun seperti ini terlalu ramai, malah kita sendiri pun tidak boleh mendabik dada mendakwa bahawa kita pasti akan selamat. Jalan yang terbaik ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman kita selepas kita menerima hidayah (Ali-Imran, ayat 8)

5. Ikhlas di dalam apa jua gerak kerja perjuangan kerana inilah yang menjamin para muslimah untuk mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.


Apa yang dinyatakan di sini sekalipun secara ringkas namun ia rasanya sudah cukup untuk menjadi satu garis panduan secara umum untuk generasi remaja muslimah hari ini membentuk jatidiri diri. Sesungguhnya, perjuangan ini pastinya akan mendapat kejayaan, sekalipun tidak di dunia namun di akhirat. Jadikanlah lafaz dan ikrar yang sering dikumandangkan melalui doa iftitah di dalam solat sebagai satu kenyataan di dalam hidup.