Friday, January 21, 2011

Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana

FWD:Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana

Puteri-puteri Islam Sejati!
Salam sejahtera diiringi limpah kasihi Ilahi.

Di mana jua kalian berada, sentiasa ibu doakan agar sentiasa beroleh taufiq dan hidayah Allah. Sentiasa terdorong melaksanakan kebaikan, juga terhindar dari melakukan sebarang keburukan.

Ibu sangat merindui dan mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam; supaya dengannya kita akan dikumpulkan kembali di yaumil akhir nanti. Di sana nanti tiada lagi naungan selain naunganNya. Ini berdasarkan maksud sabda Rasulullah s.a.w;

“Pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.​​” (HR Muslim)

Puteri-​​puteriku yang sentiasa gigih di jalan kebenaran…,
Dengan izin dan perkenan Allah jua kita masih dipertemukan di dalam siri peringatan; bekalan sepanjang hayat . Moga dengannya kita mampu menghimpun bekalan-​​bekalan yang akan menyelamatkan kita dari sebarang rupa keburukan yang kita khuatiri. Lebih utama yang kita harapkan, bekalan yang dikumpul akan meyampaikan kita kepada segala bentuk kebaikan.


Di pertemuan kali ini kita akan dihidangkan dengan bekalan yang mempengaruhi sebahagian besar masa harian kita;

Bekalan ke-3: Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana

Ketahuilah Puteri-​​puteriku,​​
Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tidak berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Ada kalanya kita mudah melakukan kebaikan. Ada kalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredhaan Allah. Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah. Disebabkan kekuatan luarbiasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara pertama yang Ar-Rasul Muhammad s.a.w laksanakan sewaktu berhijrah ke Madinah ialah mempersaudaraka​n golongan Muhajirin dan Ansar. Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugerah Allah kepada setiap diri muslim yang merasai mereka telah diikat dengan keimanan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud;

“Dan yang mempersatukan hati mereka(​​orang-​​orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Puteri-puteri Islam yang bertaqwa,
Kekuatan persaudaraan Islam yang begitu rupa akan mampu memperingatkan kalian sewaktu lemah dan leka. Seandainya kalian ditinggal bersendirian terkapai-kapai tanpa sahabat yang baik, kalian terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan. Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan.

Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran. Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.

Dari itu sewajarnya kita perlu menentukan pilihan yang terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.






Puteri-puteri Islam sejati!
Renungi secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah; semoga dengannya terlihat jelas fungsi sahabat yang baik.

Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab.

Di pertengahan jalan ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman ibunya akan terus-terusan berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya; “Usahlah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas . Tentunya dia akan mandi. Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh”.
Disebabkan iman di hatinya masih lemah, dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkann​ya;​​ “Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang, pasti ditimpa bala’ dan cobaan”.

Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikanya untanya kepada ‘Iyash; “Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-​​samaku”.​​ Sebaik-baik ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan disiksa. Hampir saja dia berjaya dipujuk meninggalkan Islam. Terlihat saja dia kepada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Di situlah kekuatan erti persahabatan yang terjalin. Sahabat yang baik mampu menyelamatkanny​a dari bencana kufur.

Puteri-​​puteriku yang diharapkan membawa kebaikan kepada insan lain;
Bilamana kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan taqwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-​​langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut;

* mengasihi saudara seIslam semata-mata kerana Allah
* mengucapkan salam bila bertemu
* sentiasa menziarahi terutama ketika sakit
* sentiasa saling mendoakan
* menolong ketika kesempitan
* memenuhi jemputan
* memberi ucapan tahniah dan takziah
* saling memberi hadiah
* tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan
* bertolak ansur dan saling memaafkan
* bermanis muka semasa bertemu
* sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam.

Puteri-puteri Islam Sejati!
Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakan oleh gejala-gejala liar sepetimana maksud sabda Rasulullah;

“Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-​​membenci,​​ janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. (HR Bukhari dan Muslim)

Wassalam.

Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendokan ketaqwaan kalian.


Disediakan oleh: Unit Kebajikan & Kaunseling

Saturday, January 08, 2011

usrah: Bab Bertafakkur terhadap perkara Ghaib yang dinantikan.


Mustafa Masyhur menegaskan berfikir tentang perkara ghaib dengan mengandaikan ia telah berlaku dan kita sedang melaluinya. Beliau telah membahagikan kepada 3 fasal :-

i.Tempoh sebelum ajal
Kita tidak mengetahui jangka masa yang masih ada sebelum ajal, adakah masih panjang atau singkat. Adakah kita mendapat taufiq untuk melakukan kebaikan dan amal saleh atau terdedah kepada fitnah dan terpesong atau tergelincir.

Oleh itu, setiap kita perlu ada perasaan takut, berwaspada serta mengharapkan rahmat Allah setiap masa.
Rebutlah peluang untuk melakukan kebaikan, jangan menangguh selagi hayat dikandung badan.  Janganlah menanti peluang kebaikan itu sampai kepada engkau, tetapi beusahalah dan carilah peluang. Moga kita tergolong dalam “orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan orang-orang yang mendahului pada mencapainya”…Surah mukmin: ayat 16.

Marilah kita bermujahadah, beramal dengan ikhlas, beriltizam dengan syariat, beristiqamah pada suruhannya. Hablun minna nas dan hablun mina Allah sentiasa dipelihara.
Bersegera dalam bertaubat dan beristighfar sebelum ajal tiba..Allah Maha peyayang lagi Maha pengampun.

ii.Peringkat kematian
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati..Ali Imran: 185.
Hendaklah kita sentiasa mengingati mati, dan bersiap-sedia untuk bertemu Allah.  Beliau membawa dua analogi. Pertama golongan yang apabila syaitan mendatangkan was-was kepada manusia supaya ia melakukan maksiat, ingatlah mati yang datangnya secara tiba-tiba, kemungkinan ketika itu ia sedang melakukan maksiat. Berbeza dengan keadaan Kedua apabila ajal maut datang, engkau sedang melakukan kebaikan dan ketaatan. beristiqamahlah melaksanakan perintah Allah dan jadilah orang yang bertaqwa..
Buatlah ikatan kontrak yang menguntungkan dengan Allah sekalipun engkau masih belum melakukannya…

iii.Kubur dan kehidupan alam barzakh
Amalan salehlah yang menemani kita di dalam kubur, sama ada kubur kita menjadi taman dari taman syurga atau lubang neraka..Hadis Nabi
“Secerdik2 manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat”
                                                                (Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya)

Bedah Buku: “Bekalan di Sepanjang Jalan Da’wah” Bab Bertafakkur terhadap perkara Ghaib yang dinantikan…

Sunday, January 02, 2011

xpdc malam tahun baru!

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik..” (Surah Al-Ankabut; ayat 69)

bismillah walhamdulillah. awalan, mabruk pd semua tenaga yg telah menginfaqkan diri dalam skuad XPDC DAKWAH bagi wakil NISA' SERDANG. alhmadulillah, tenaga muslimat hampir 30orang dari Nisa' telah sama-sama menghisbahkan diri utk memerangai kemungkaran.

kami berkumpul seawal jm6.00 ptg di pejabat BANGI. sedikit taklimat & taujihat disampaikan oleh Ketua Nisa' Serdang. 3 kereta berkonvoi ke surau al Ehsan, bg menyempurnakan solat Maghrib. usai solat, kami berjemaah ke Masjid Jamek, Kajang utk sesi taklimat pd semua petugas.



setelah selesai isyak, makan malam. taklimat besar-besaran pd semua petugas disampaikan. aiwah, ramai askar-askar Allah turun malam ini. dari pelbagai NGO turut serta dlm XPDC DAKWAH utk kawasan hulu langat ini.


check point pertama kami d sekitar metro KAJANG, stadium, restoran hj samuri dan sekelilingnya. kemudian, kami berpecah. kini, muslimat mempunyai kekuatan 5 kereta dan 1 motor & pemboncengnya. okey, kita berpecah ke tasik cempaka, tasik btho, uptown RnR area BTHO.

flyers Nisa' & NGO lain turut diedar  bersama semasa xpdc dijalankan. kami kembali ke masjid jamek jm3.30am. syukran pada semua yg terlibat.. moge setiap detik, setiap gerak langkah kita dikira amal kebaijikan..dan saham bekalan akhirat nanti, insyaallah.

sirru ala barakatillah!! selamat menyambut tahun baru 2011, dgn penuh rasa kesyukuran. bersama tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, pasakkan istiqomah di jalan dakwah!! may ALlah bless us..selamat bermujahadah! ameen!

----
doa ini Rasulullah SAW ajarkan pada kita. Amalkanlah sambil dihayati maknanya, mudah-mudahan dijauhkan dan disucikan diri kita daripada dosa-dosa ..

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِى وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ ، اللَّهُمَّ نَقِّنِى مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Maksudnya: “Ya Allah (SWT), jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat, Ya Allah (SWT) bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih dari kekotoran, Ya Allah (SWT) sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk.” (Daripara Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)

Thursday, December 30, 2010

NISA Serdang Sertai Karnival Sukan Belia MPKj


Karnival Sukan Belia anjuran Ahli Majlis MPKj pada 25 Disember lepas telah menganjurkan pertandingan futsal bagi Lelaki dan Bola Jaring bagi Perempuan. 
Nisa Serdang turut menghantar satu pasukan Bola Jaring untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan.
 Dalam pertandingan tersebut, seramai 4 pasukan yang mendaftar untuk bertanding. 
Pasukan yang bertanding, terdiri daripada Pasukan Seksyen 7/3, Kajang Utama, Nisa Serdang dan satu lagi pasukan dari HALWA PKDI.


Pasukan NISA Serdang bergambar bersama ADNS Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Ahli MPKj, Us Syafie Ngah dan En Abu Bakar Alias.


 ~Team Kajang Utama~


~Team Puteri Remaja~



~Team Halwa PKDI~



~Team Seksyen 7/3~

Tahniah diucapkan kepada semua yang bertanding.
Terima kasih kepada semua yang terlibat memberi sokongan tenaga dan sorakan semangat semasa perlawanan berlangsung...ngee =)

Thursday, December 16, 2010

Walimah Qatr al-Nada & Tariq


Qatr al-Nada a.k.a nada telah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan Saudara Tariq pada 20 November di Masjid As-Solihin, Teras Jernang Bangi. Manakala majlis di Muar, Johor pada 11 Disember yang lepas.

~Bergambar dengan Mak Saudara Terengganu~


Kebetulan Nada yang menyambut hari lahirnya pada 10 Disember sehari sebelum kenduri di Johor, telah mendapat kejutan dari suami dengan sambutan hari lahir pertama sebagai isteri pada majlis menyambut menantu di Johor.
Sebentuk cincin disarungkan di jari sebagai hadiah hati dari suami.

~Saat suami membaca doa kesyukuran sempena ulang tahun kelahiran yang ke-24~

~Sempat bergambar dengan geng rombongan ke Muar~

1 Malaysia kah???

~Pasangan Pengantin Bahagia~ Peaaaace!!!

Tahniah diucapkan dari Nisa Serdang.
Semoga berbahagia bersama.
Kekal hingga akhir hayat,
Sampai ke Syurga, Amiiin =)

Thursday, December 09, 2010

jom sertai Jambori Nisa' Selangor 17-19 Dec 2010.

 Penampilan istimewa Imam Muda Asyraf.
 
 
TARIKH :
17-19 Disember 2010/11-13 Muharam 1432H

TEMPAT :
Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES)
Permatang Pasir, 42700 Banting, Selangor.

MASA :
Jumaat (petang) - Ahad (tengah hari)

SASARAN PESERTA :
Remaja perempuan Islam (13-18 tahun)

PENGENALAN

Program Jambori NISA’ Selangor ini adalah merupakan program tahunan anjuran Nisa’ Selangor, dan pada tahun ini adalah merupakan penganjuran buat kali yang ke 2 dengan bertemakan ‘I’M PROUD TO BE A MUSLIM’. Penganjuran program ini adalah sebagai salah satu sumbangan kecil Nisa’ Selangor dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya golongan remaja, selaras dengan motto NISA’, ‘Penghubung Generasi Muda’.

OBJEKTIF

· Melahirkan rasa cintakan Islam dan bangga menjadi muslimah.
· Memantapkan jati diri peserta agar mempunyai daya tahan untuk terus tetap berakhlak dengan akhlak Islam dalam suasana pengaruh persekitaran yang pelbagai.
· Membimbing peserta ke arah menjadi individu muslim yang peduli (mahu mengambil tahu) dan mampu berperanan sebagai duta kecil Islam kepada masyarakat di sekelilingnya dalam usaha menyampaikan mesej dakwah Islam.
· Membina dan mengukuhkan ukhuwwah Islamiah  di antara peserta dengan ahli Nisa Selangor.
· Memperkenalkan Nisa’ Selangor sebagai suatu organisasi yang aktif melaksanakan pelbagai bentuk program dalam usaha menghubungkan generasi muda agar lebih dekat kepada Islam.
 
BENTUK PENGISIAN PROGRAM

· Ceramah dan diskusi dua hala.
· Slot khas bersama Imam Muda Asyraf
· Aktiviti bermodul dalam kumpulan kecil dengan
· bimbingan intensif fasilitator.
· Praktikal dan pemantapan amalan ibadat sunat (solat fardhu berjemaah, Qiamullail, solat sunat Dhuha, bacaan Al Quran, bacaan Al Mathurat dll).
· Melibatkan peserta sebagai imam solat, pengerusi majlis, ketua kumpulan dan lain-lain.
· Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM).

Untuk keterangan lanjut sila hubungi :
  • kak shida : 017.224 8987

Tuesday, December 07, 2010

salam MAAL hijrah 1432H

Salam Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini.  Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Murabbi : 
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

//////  -----------------  //////

  • Firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.." – Surah an-Nahl, ayat 41-42
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.
Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakatLakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.



Mursyidul : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tuesday, November 16, 2010

`Salam Eidul Adha dari Nisa' Serdang`

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Allahu Akbar Walillahil Hamd

Puji-pujian selayaknya buat MAHA Pencipta, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Ana, mewakili seluruh soff kepimpinan Nisa' Serdang ingin mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua warga Nisa' Serdang, pimpinan DMPK Serdang, buat sahabat Nisa' kawasan, Nisa' Negeri dan pada muslimin dan muslimat di seantero dunia. Doa dan harapan, semuanya dalam nikmat ISLAM, IMAN dan Ihsan...insyaallah.
Firman Allah taala dalam Surah al-Hujurat, ayat 15 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Sehubungan dengan raya KORBAN, sama-sama kita ambil ikhtibar dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah SWT menyembelih anaknya Nabi Ismail dan ketaatan anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT. Disamping itu juga ketabahan hati seorang ibu dan juga isteri iaitu Siti Hajar juga jangan sekali-kali kita lupakan.

Melihatkan dunia yang makin hari makin sakit, dengan petanda-petanda yang mula melata di seluruh pelusuk dunia, diri ini mengingatkan sama-sama agar kembali ke fitrah. Kembali dengan kata menunaikan tuntutan sebagai khalifah di bumiNya. Kembali dengan mengamalkan ISLAM sesempurna mungkin. Kembali dengan akhlak Islamiyah serta syariat yang telah digariskan.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللهِ الْإِسْلامُ ِ "Sesungguhnya yang agama di sisi Allah ialah Islam." ( ayat 19, al Imran).

Justeru, jelas lagi terang ISLAM adalah agama yang syumul, yang perlu dipertahankan dan ditegakkan bukan lagi diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak. Islam bukan pada nama, tetapi lengkapi ISLAM dengan melitupi dari segenap aspek rutin harian, berikhtilat, bermuamalat dan sebagainya. Kita masih punya hutang yang berbaki, yakni dengan mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran ' amar ma'ruf, nahi mungkar' dengan memastikan agama ISLAM bukan boleh dipijak, namun wajib diJULANG dan disemad dalam hati dari dulu, kini dan selamanya.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama mengambil roh korban, dan semangat Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail alahimassalam, sebagai nadi untuk meneruskan wasilah perjuangan sebagai hambaNya dengan menyusun atur gerak kerja agar lebih tampak tersusun dan bersistematik. Selamat menyemat tag fisabilillah dalam setiap gerak langkah kehidupan dan memasakkan istiqomah di jalan dakwah.

Salam Eidul Adha 1431 H, maaf dipinta dari soff pimpinan Nisa' Serdang.

Monday, November 15, 2010

adab menyambut kelahiran bayi

Adab Menyambut Kelahiran Bayi
Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi diantaranya:

Disunatkan mengucapkan tahniah
Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata. Amalan ini disuruh kerana menghibur saudaranya selain itu amalan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesahteraan kepada saudaranya dan anak yang baharu dilahirkan oleh isterinya. Antara doanya ialah:
“ Semoga Allah memberkati kurnianNya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa hadapannya
Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita menyahutnya dengan ucapan

“ mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas engkau.
Disunatkan azan dan Iqamah
Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang memperolehi cahata mata (anak) maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqmahkan di telinga kiri, nescaya terlepaslah darinya angin tiupan syaitan”



Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindung daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan itu jika lakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.


Melakukan Tahnik atau membelah mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah
dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku” amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.



Mencukur rambut
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.

Berkhatan
berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”



Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi).



Manamakan anak
Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.



Ditukil dari buku Panduan Menyambut Kelahiran Bayi
Oleh Ja’far Al- Mathari Bin Abdul Rahman
Jasmin Enterprise


Friday, November 12, 2010

Tahniah atas kelahiran puteri & putera



~Alahmdulillah.. Tahniah atas kelahiran
 puteri Sakinah & Samawi~ bersama juga  putera Puan Masyfua'h & Ust. Nordin
Pn. Sakinah sahabat NISA' Serdang & Masyfu'ah Mantan UPI, Nisa' Serdang yang telah selamat melahirkan puteri & putera comel ..

Sakinah Ahmad Akhri : selamat melahirkan Puteri sulong pada  12/11/2010 4.30pagi di HKL

Masyfu'ah Mokhtar : selamat melahirkan putera sulong pada 13/11/2010 3.30pg..


Wednesday, November 10, 2010

usrah: Di atas Jalan DAKWAh...kita perlukan bekalan.

alhamdulillah, puji-pujian selayaknya dikalungkan buat MAHA Pencipta ..alhmadulillah, semalam 9 November 2010, liqa' mahabbah tercipta. syukran pada yg hadir ke Usrah Nisa' Serdang utk sesi II, manhaj baru setelah buku yg 1st sudah khatam.. ;)

masyaAllah, bertali arus kehadiran shbt.. bermula jam 8.20pm, isyak berjemaah- Imamah oleh shbt Emiza a.k.a  kak a'an yg comel dan baik hati ye..hihi..lantas halaqah dibentuk utk membacakan matsurat. usai bacaan matsurat bergema dlm bilik ni.. pengerusi memulakan kalam dgn membuka majlis Al fatihah.naqibah pada malam ni adalah : Pn. Nor Fatihah Mohd Yusoff. tafaddalli.. =)

berikut beberapa point utama utk bab 1
Di atas Jalan DAKWAH..kita perlukan bekalan. antara bekalannya ialah :

1) Bekalan IMAN & TAQWA.. disulami perasaan ma'iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama ALLAH)

Sungguh Allah beserta orang-orang yang beriman". ( Al-Anfal:19)

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al Nah 127-128)

2) berJIhad & beKorban di jalan DAKWAH - jiwa, harta, tenaga, fikiran, masa

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh... ( at Taubah 111)

3) istiqomah yakni keteguhan & ketetapan drpd ALLAH

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. ( surah Ibrahim : 27)   
4) perlukan SOKONGAN ikatan Ukhuwwah & jalinan KASIH SAYANG

Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al Hujurat : 10)

5) amalan-amalan & utamakan syari'at ALLAH

واَعْتصِمُواْ بِحَبْلِ الله جَمِيْعًا وَلاَ تَفَـرَّقوُا وَاذْ كـُرُو نِعْمَتَ الله عَلَيْكُمْ إٍذْكُنْتُمْ أَعْـدَاءً  فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلـُوبِكُمْ  فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنْتُمْ عَلىَ شَفاَ خُـفْرَةٍ  مِنَ النَّاِر فَأَنْقـَدَكُمْ مِنْهَا كَذَالِكَ يُبَبِّنُ اللهُ لَكُمْ اَيَاتِهِ لَعَلـَّكُمْ تَهْـتَدُونَ ’{ال عـمران 103}

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah   dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu  maka kamu menjadi bersaudara sedangkan kamu diatas tepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat ayatnya  agar kamu mendapat petunjuk”


6) ILMU yg bermanfaat

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". ( surah Taha :114)

7) setia dengan Janji 

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
(al Imran : 76)



akhir kalam... adakah antunna sentiasa menyiapkan diri dgn BEKAlan di atas? sama-sama tepuk dahi.. tanya sendiri ;) moge kita terus menjadi insan yg dipilihNya utk meniti di atas jalan yg bernama D.A.K.W.A.H.
bersama 'PASAKKAN istiqomah di JALAN DAKWAH' ameen..!
kupasan helaian buku Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah : Mustafa Masyhur. 
al-mukhlisoh : ss  

Sunday, November 07, 2010

kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.



Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)?

Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.


sumber dari : http://inijalanku.wordpress.com

Wednesday, October 20, 2010

Turun Padang: Ziarah Rumah ke Rumah

Assalamu'alaikum warahmatullah Sahabat2 Nisa' yang dirahmati Allah sekalian, jom kita ramai2 turun padang rumah ke rumah di Bandar Seri Putra pada tarikh seperti berikut: 

Tarikh : Sabtu 23 Oktober 2010 
Masa : 10 pagi 
Tempat : Bandar Seri Putra, Bangi 


AYUUUUUUUUUUUUUUUUH TURUN PADANG, BERSAMA PIMPINAN KITA 


* SILA SMS HASLINA - 013-6674718 SESIAPA YANG DAPAT TURUN PADANG, TEMPAT BERKUMPUL AKAN DIBERITAHU KEMUDIAN.

Thursday, October 14, 2010

TOKOH: SYEIKH MUSTAFA MASYHUR

dipetik dari: http://ustazfadhil.blogspot.com

PENDAHULUAN


Jika orang lain meninggalkan wasiat berkaitan harta kepada anak-anak, maka tokoh ini sempat menulis wasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjuang membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin daripada penjajahan Yahudi.

Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Ustaz Mustafa Masyhur, Mursyidul-Am Ikhwanul Muslimin yang kelima. Setelah enam tahun memimpin gerakan Islam yang tertua dan terbesar di dunia ini, beliau dipanggil Ilahi dengan penuh kemuliaan.

Ustaz Mustafa, 81, dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Saadiyyin, Muhafazah Syarqiyyah, Mesir. Beliau terdidik di dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan agama. 



SERTAI IKHWANUL MUSLIMIN

Al-Marhum menyertai jamaah Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada tahun 1936. Kisah penyertaannya ke dalam jamaah berkenaan agak menarik. Ketika berhijrah ke Kaherah, beliau sering mengunjungi sebuah masjid berhampiran kediamannya. Suatu hari, ketika di masjid, beliau melihat seorang lelaki sedang menyebarkan risalah yang mengiklankan ceramah agama di sebuah masjid.

Atas sifatnya yang sangat cintakan ilmu dan majlis pengajian agama, beliau menghadirkan diri ke majlis berkenaan. Di penghujung pengajian, penceramah berkenaan mengumumkan bahawa seorang tokoh ulamak ternama, Ustaz Hasan Al Banna akan berkunjung ke situ untuk menyampaikan ceramah. Sekali lagi timbul perasaan di hati Ustaz Mustafa untuk menghadiri majlis berkenaan.

Di pendekkan cerita, disebabkan kagum dengan kedua-dua ceramah inilah beliau membuat keputusan untuk menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.


Ikhwan Muslimin ditubuhkan oleh Mursyidul Amnya yang pertama, Hasan Al Bana empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah Turki (1924) iaitu pada tahun 1928. Pengaruh Ikhwan tersebar ke seluruh dunia Arab dan sebahagian negara umat Islam.


Matlamat perjuangan Ikhwan ialah berjuang untuk menegakkan negara Islam tanpa kekerasan. Di samping itu mereka berjuang untuk melakukan perubahan dan pembaikan politik dan ekonomi secara berperingkat. Ikhwan turut mementingkan sudut tarbiyyah bagi memastikan ahli-ahlinya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.


Pengaruh Ikhwan sangat besar. Bahkan penubuhan jamaah, parti dan gerakan Islam di seluruh dunia adalah rentetan daripada penubuhan Ikhwan. Kini Ikhwan Muslimin menguasai 17 daripada 454 kerusi parlimen Mesir di samping banyak kerusi lain di beberapa negara Arab.


Ustaz Mustafa sangat kagum dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Ikhwan. Daripada sebagai ahli biasa, hinggalah akhirnya dipilih sebagai pemimpin tertinggi. Beliau menjalankan amanah memegang jawatan Mursyidul Am yang disandangnya sejak 1996 hinggalah keadaannya yang sudah tidak berdaya lagi pada 29 Oktober 2002. Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Ustaz Makmun Hudhaibi.

UJIAN

Dalam menjalankan amanah jamaah dan amanah agama, Ustaz Mustafa pernah dipenjarakan beberapa kali pada zaman pemerintahan Jamal Abdun Nasir dan kali terakhir ialah pada tahun 1965 hingga 1971 (enam tahun). Sebaik sahaja Anwar Sadat mengambil-alih pemerintahan, beliau memberikan keampunan kepada ramai anggota Ikhwan yang dipenjara. Mustafa termasuk di kalangan mereka yang dibebaskan.


Walaubagaimanapun, Sadat cuba menangkapnya kembali. Untuk menyelamatkan diri, beliau berhijrah ke Kuwait beberapa ketika sebelum operasi penangkapan beramai-ramai dilakukan pada tahun 1971. Beliau kemudian tinggal di Jerman selama lima tahun dan di sana beliau mengatur gerakan menyebarkan pengaruh Ikhwan ke seluruh dunia.

Beliau pulang ke Mesir beberapa ketika sebelum Mursyidul Am ketika itu, Syeikh Umar Tilmisani meninggal dunia. Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diambil-alih oleh Syeikh Hamid Abun Nasr dan Mustafa menjadi timbalannya.

Setelah Syeikh Hamid meninggal dunia pada tahun 1996, Syeikh Mustafa Masyhur dilantik sebagai penggantinya. Februari 2002 beliau sekali lagi dipilih untuk meneruskan khidmatnya sebagai Mursyidul Am. Pemilihan tersebut dibuat selepas Ikhwan membuat pindaan tempuh khidmat Mursyidul Am kepada enam tahun.

Ustaz Mustafa turut diundang menyampaikan ceramah di serata dunia. Bahkan ketika permulaan krisis selepas kemenangan mujahidin di Afghanistan, beliau mengetuai delegasi pemimpin-pemimpin gerakan Islam seluruh dunia pergi ke Kabul untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin.  Beberapa tahun lalu, Parti Islam Semalaysia (PAS) pernah menjemputnya menghadiri satu majlis di Malaysia dan beliau menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri. Malangnya sebelum berlepas ke Malaysia, pasportnya dirampas dan dikoyak.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, Ustaz Mustafa tetap berada di dalam saf perjuangannya dan tidak meninggalkan jamaah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
KISAH KEMATIAN

Pada 29 Oktober 2002, selepas pulang dari pejabatnya, beliau berehat seketika. Apabila azan Asar dilaungkan, anak perempuannya cuba mengejutkannya daripada tidur. Sebaik terjaga daripada tidur, didapati dirinya begitu tidak bermaya sekali. Beliau diserang sakit yang melibatkan otaknya.
Melihatkan keadaan bapanya, si anak menasihati Ustaz Mustafa supaya menunaikan solat di rumah sahaja.

Namun tarbiyyah mantap yang diterimanya menghalang beliau untuk menunaikan sembahyang di tempat selain daripada masjid. Apatah lagi beliau adalah pemimpin tertinggi bagi jamaah Islam yang tertua dan terbesar. Beliau terus mempersiapkan diri dan pergi menunaikan sembahyang di masjid berdekatan kediamannya. Selepas menunaikan sembahyang, beliau sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Orang ramai menghantarkannya ke hospital dan beliau berada di sana selama lebih kurang dua minggu. Pada petang Khamis, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Keesokan harinya, orang ramai berkumpul di Masjid Rabaah Adawiyyah di Madinat Nasr untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan. Jalan-jalan sekitar menjadi sesak. Setelah jenazah disembahyangkan, orang ramai berarak menuju ke tanah perkuburan yang terletak 10 km dari masjid berkenaan.

Suasana sepi, sedih dan pilu menyelubungi perjalanan ke tanah perkuburan. Tidak ada sebarang laungan atau slogan-slogan seperti perhimpunan yang biasa di anjurkan oleh Ikhwan. Masing-masing hanya berdoa di dalam hati memohon kesejahteraan ke atas pemimpin yang pergi. Sebahagian daripada mereka mengangkat mashaf Al Quran sebagai lambang kepada syiar perjuangan mereka.

Perarakan yang dianggarkan disertai oleh 20,000 orang itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin politik termasuk ketua Parti Buruh (pembangkang), Ibrahim Shukri. Walau bagaimanapun Al Jazeerah melaporkan bahawa tidak kelihatan seorangpun pemimpin kerajaan dan pemimpin parti yang memerintah, Parti Negara.

Dari Allah kita datang, kepadanya jua kita kembali....


MURSYIDUL AM IKHWANUL MUSLIMIN
1. As Syahid Ustaz Hasan Al Banna (1928)
2. Syeikh Hasan Hudhaibi
3. Syeikh Umar Talmisani
4. Syeikh Hamid Abun Nasr
5. Syeikh Mustafa Masyhur (1996-2002)
6. Syeikh Makmun Hudhabi
7. Dr Mahdi Akef (sekarang)
Oleh: Salman Al Munziri, KAHERAH