Friday, December 05, 2008

Salam Aidil Adha



Assalamualaikum warahmatullah...

Alhamdulillah syukur dirafa'kan ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah s.a.w. Setulus doa dipanjatkan ke atas seluruh muslimin muslimat, pejuang-pejuang Islam di merata dunia, yang masih hidup mahupun telah pergi menemui Ilahi.

Sahabat-sahabat, pengunjung blog Nisa' Serdang yang dimuliakan...sedar tak sedar kita sedang menghampiri 10 Zulhijjah 1429. Terasa cepat masa berlalu, seakan baru melewati Aidiladha yang lalu. Masa semakin pantas bergerak. Detik-detik waktu semakin laju meninggalkan kita dan usia yang dipinjamkan ketika ini semakin mendekatkan kita pada penghujung hayat. Sesungguhnya pinjaman masa yang pernah singgah tidak akan kembali lagi. Bagaimana hidup kita ketika ini? Baikkah? Sihatkah? Atau sakitkah? Begitu juga dengan amalan-amalan sepanjang hayat buat bekalan menemui Rabbul Izzati kelak? Sudah cukupkah persediaan menghadapi kematian yang belum tentu bila saat tibanya?

Syukur, hingga saat ini kita masih mampu menghirup udara kurniaan Ilahi yang diberi percuma. Syukur, kaki kita ini masih mampu melangkah. Syukur jari-jemari ini masih mampu menulis butir-butir kata. Syukur, mata ini masih mampu melihat ciptaan-ciptaanNYa. Syukur tubuh badan ini masih sihat. Syukur, kita masih diberi peluang menikmati hidup, masih diberi kesempatan utk beramal sebanyak-banyaknya.. masih diberi peluang bermuhasabah, menginsafi kekhilafahan diri... masih dibukakan seluas-luasnya pintu keampunan. Syukur, syukur, syukur lagi.

Wahai sahabat-sahabat.. mari kita sama-sama muhasabah, dan berazam untuk memperbaiki diri. Kita kenang kembali pengorbanan para Nabi, dan para sahabat dalam perjuangan menegakkan Deenul Islam. Sesungguhnya Islam yang kita miliki dengan mudah pada hari ini, adalah susah payah, titik peluh, air mata dan darah yang mengalir hasil perjuangan dan pengorbanan para Nabi, Rasulullah s.a.w, para sahabat, syuhada' dan pejuang2 Islam yang terdahulu. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi muslim mukmin yang terbaik, yang mengikhlaskan hidup ini semata-mata keranaNya, mempersembahkan corak hidup yang diterima sebagai amalan mulia dan tinggi disisiNya, agar kepulangan kita kepadaNya nanti adalah kepulangan sebagai "jiwa-jiwa yang tenang lagi diredhai". AMEEN.

Salam Aidil Adha dari kami, warga Nisa' Serdang.

Tuesday, December 02, 2008

Mereka yang pergi, kita yang tinggal

'Notice board’ di rumah serasa dah tak muat lagi untuk menempatkan kad-kad undangan majlis perkahwinan. Rasa gembira dikongsi untuk si bujang-bujang yang bakal meninggalkan zaman solonya. Namun kunjungan ke Rumah Allah berdekatan rumah lewat beberapa hari yang lalu, meruntun jiwa dan mengundang rasa yang berbeza. Rasa insaf, rasa khauf. Hati kecil berlagu hiba mohon diri jauh daripada lalai dan dijauhkan daripada penyakit-penyakit jiwa. Astaghfirullah....Astaghfirullah.....Astaghfirullah.

Dalam kemeriahan cuti persekolahan dan undangan perkahwinan, diharap Dzulhijjah yang bakal bertamu tidak dilupakan. Kisah seseorang bapa diuji keimanannya dengan perintah untuk mengorbankan anak kandungnya untuk disembelih dan si ibu juga diuji ketaatannya untuk merelakan segalanya berlaku, hanya untuk Dia, hanya keranaNya, menuntut kita merenung dan memahami falsafahnya.

Rombongan- rombongan terakhir bakal meninggalkan kita di sini, bakal menjadi tetamu-temau Allah pula. Di sana, di bumi penuh barakah, di bumi kelahiran Rasulullah s.a.w. Moga azam untuk pengabdian sepenuhnya kepadaNya menjadi cita-cita setiap bakal haji dan hajah, semoga mendapat haji yang mabrur. Bukan untuk gelaran haji dan hajah, bahkan jauh sekali untu melancong dan ber’shopping’. Cukup-cukup sebelum ini, pangkat yang dikejar, harta yang dicari sehingga kita lupa dengan al-Khaliq. Sehingga al-Wahn menjangkiti kita, penyakit yang amat dibimbangi Rasulullah s.a.w terhadap umatnya. Luruskan niat, tanamkan azam untuk melakukan yang terbaik sebagai tetamu Allah. Bukan sedikit yang dipertaruhkan untuk menjadi calon-calon tetamu Allah. Terutama buat para ayah ibu yang uzur, buat mereka yang menggadaikan tanah dan harta, buat mereka yang meninggalkan waris-waris yang masih kecil. Perlu dimaknakan semuanya, agar ia berbaloi. Kami datang kepadaMu, kami datang menyerah diri sepenuhnya.

Buat kita yang tinggal, apa yang perlu dilakukan? Sembelih lembu? Sembelih kambing? Sembelih unta? Memadai keimanan Ibrahim a.s, ketaatan Hajar dan pengorbanan Ismail a.s perlu dihayati sedemikian? Peristiwa Qurban mengenalkan kita kepada tiga watak utama ini. Cerita sebuah keluarga untuk menjadi pedoman kepada yang bakal berkeluarga dan baru berkeluarga. Bagaimana pembentukan institusi keluarga hari, peranan ayah, peranan ibu dan peranan anak dalam sebuah keluarga. Sesak dada melihat kepincangan dan keruntuhan institusi penting ini.

Adakah ayah hari ini menjadi Ibrahim a.s yang sedia menuruti perintah Rabbnya dalam apa jua keadaan pun. Perintah untuk menyembelih anaknya dituruti tanpa bangkangan walaupun baru berjumpa dengan si anak yang sudah lama ditinggalkan bersama ibunya di padang pasir yang gersang. Demi Allah, demi Dia yang menciptakan. Adakah ayah-ayah hari ini mengajarkan anak-anaknya mengenali huruf-huruf dalam kalam Allah, adakah ayah-ayah hari ini sanggup memukul si anak apabila si anak meninggalkan solat. Ya, keperluan material dipenuhi tetapi bagaimana keperluan rohani ‘kain-kain putih’ ini, adakah dicorakkan dengan acuan Islam? Anakku…begini rukuk, begini sujud, begini membaca al-Fatihah kerana kita adalah hamba, hamba kepada Rabb, yang menciptakan kita sesempurna kejadian. Jika ini pun tidak dilakukan bagaimana peranan seperti Ibrahim a.s ini dapat diikuti?

Adakah Hajar sudah mati hatinya, sanggup membiarkan anak yang dikasihi dikorbankan? Hajar model isteri yang taat, model ibu yang terbaik kerana dia tidak pernah membelakangkan Rabbnya. Semua dihadapi dengan redha dan sabar. Anak itu pinjaman, anak itu amanah bukan milikan sempurna seorang hamba sehingga membelakangkan Allah. Hajar bukan ibu yang menyesatkan kerana dia tidak menghalang sekalipun menghasut sang suami untuk meninggalkan perintah Allah sebagaimana iblis yang pula jatuh kasihan terhadap Ismail dengan penuh kepura-puraan. Dia ibu cekal yang di dadanya penuh iman, dia percaya bahawa mereka sekeluarga sedang diuji. Wujudkah klon Hajar hari ini? Yang cekal hatinya ditinggalkan di tanah tandus bersama bayinya kemudian diuji lagi dengan perintah penyembelihan terhadap putera yang dijaganya sendirian sehingga besar. Bandingkan ibu-ibu hari ini dengan Hajar yang penuh waja. Kasih sayang ibu-ibu hari ini, kebanyakkan menjadi racun kepada anak-anak. Pakaian, makanan dan gaya hidup perlu ikut peredaran zaman. Segala kehendak anak perlu dituruti. Biar anak pandai ballet,pandai menyanyi tapi tidak tahu menyebut kalam Allah tidak mengapa. Ibu adalah contoh, ibu adalah tunggak keluarga. Bagaimana ketam nak ajar anak jalan tegak kalau dia jalan pun senget.

Waris-waris kepada para ibu bapa adakah dapat mencontohi Ismail a.s merelakan diri menjadi korban kerana ia suatu perintah dari Rabbul Jalil. Dia tidak derhaka kepada Penciptanya dan dia anak saleh buat ibu dan ayahnya. Anak-anak hari ini, penuh ’A’ dalam sijil sekolahnya; UPSR, PMR mahupun SPM tapi kosong ’A’ untuk akhlaknya. Cuti sekolah adalah masa untuk berehat, masa untuk berjumpa kawan tapi bukan masa untuk berbakti kepada ibu dan ayah. Rumah bagai penjara, melihat muka ibu dan ayah serasa sengsara. Anak-anak hari ini miskin, miskin budi, miskin akhlaknya dan sakit jiwanya.Oh! bagaimana masa depan Islam kalau sedemikian generasi pewarisnya. Bagaimana nak melahirkan Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid? Mewujudkan klon salahuddin al-Ayubi. Para pemuda Islam yang hatinya hanya gentar kepada Allah. Keperibadian hebat dalam usia yang masih muda lagi.

Bulan Dzulhijjah renungan buat semua terutama kepada bakal-bakal ayah dan ibu serta para ibu dan ayah muda bahawa anak-anak adalah amanah dan harta kita. Doa anak-anak saleh dan salehah yang bakal menjadi saham di alam kubur. Bagi yang belum berkeluarga, jadilah anak-anak yang punya ikhsan kepada ibu bapa kerana jasa mereka tidak dapat dibalas. Kerana ibu dan ayah hanya ada satu, tiada ganti selepas mereka pergi. Perlu ada keazaman menghayati peranan penting dalam peristiwa Qurban ini. Setiap apa yang dijadikan bukan sia-sia. Bukankah Dia meminta kita berfikir melalui pada kebanyakan ayat-ayatNya, di hujung-hujung kalamNya. Pesanan buat mereka yang pergi dan kita yang tinggal.

"Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya, maka Imaam yang memimpin manusia adalah pemimpin akan ditanya tentang kepemimpi nannya, dan seorang laki-laki (suami) adalah pemimpin atas keluarga rumah tangganya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya, dan perem puan (isteri) adalah pemimpin atas harta suaminya dan anaknya dan dia akan ditanya tentang kepe mimpinannya, dan seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta tuannya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya. Ketahuilah maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.”

(HR.Al Bukhari dari Ibnu Umar, Shahih Al-Bukhari dalam Kitabul Ahkam:

sumber: http://usrahwave.com/site/index.php?option=com_content&task=view&id=233&Itemid=84

Wednesday, September 03, 2008

Nak beli button badge dakwah dan key chain Nisa?

Assalamualaikum wbkt..

Alhamdulillah, Nisa' Serdang mengorak selangkah lagi dalam menghasilkan produk sendiri yakni button badge dan key chain.

Harga seunit button badge ialah RM3.50, diskaun pembelian sebanyak 3 unit hanya RM10 sahaja.


Begitu juga dengan key chain. Harga seunit key chain adalah RM3.50. Beli 3, harga hanya RM10 sahaja.



Button badge dan keychain ini telahpun dijual di gerai Nisa' semasa Hari kesihatan Merdeka yang lalu.


Murah dan menarik kan? Jadi, tunggu apa lagi? Tempahlah sekarang! Hadiahkan kepada sahabat handai, saudara mara, ahli keluarga dan sesiapa sahaja. Hubungi pegawai kewangan kami, Nor Iza Rawi: 0192158300 untuk tempahan.