Tuesday, November 22, 2011

SELANGOR SEDIA KERJA SAMA PASTIKAN PROJEK PEMBANGUNAN LANCAR

KENYATAAN AKHBAR
22 NOV 2011

Kerajaan Negeri Selangor tiada masalah untuk  bekerja sama dengan Kerajaan Pusat dalam memastikan projek-projek pembangunan  berjalan lancar, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika berucap kepada pelabur Jepun yang menghadiri  “The 30th Jameca – Majeca Joint Conference” di Tokyo, semalam, Menteri Besar menegaskan, walaupun berbeza pandangan politik dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor tiada halangan bersikap professional dalam pengurusan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri telah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama. Saya adalah sebahagian dari Jawatankuasa Bersama antara Negeri dan Pusat untuk projek Greater Kuala Lumpur and Klang Valley dan saya telah bekerjasama dalam  menyediakan tanah untuk pembangunan yang dirancang,” kata beliau.

Beliau menambah,  kerja sama ini membolehkan Kerajaan Negeri memastikan projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley diuruskan dengan telus dan memberi nilai maksima kepada rakyat.

“Sebagai contoh saya mendapat tahu RM5 juta telah diperuntukkan  untuk membangunkan sistem pembentungan. Saya harap pemilihan syarikat dibuat secara tender terbuka kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa termasuklah dari Jepun.

“Ini jelas menunjukkan perbezaan politik bukan masalah bagi saya. Sebab itu saya berada di sini untuk memantau jika pelabur Jepun  ada masalah supaya kita dapat mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menghadiri persidangan  sehari itu sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Jepun.

Pada persidangan tersebut,  Datuk Bandar Shah Alam Dato’  Jaafar Mohd Atan telah membentangkan kertas kerja bertajuk “ Smart City Development”.

Sementara itu, Presiden Majeca, Tan Sri Azman Hashim berterima kasih kepada Kerajaan  Selangor dan peserta daripada Malaysia yang lain termasuk Khazanah Nasional dan Iskandar Investment Berhad yang  menghadiri persidangan bertujuan mengeratkan lagi hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Azman berharap  Jepun akan terus melabur di Malaysia dan mengembangkan pelaburan bukan saja dalam sektor perindustrian bahkan sektor perkhidmatan terutama perbankan dan kewangan Islam.

Hari ini, Menteri Besar menghadiri Seminar Pelaburan Malaysia dan melawat kilang Sony di Konan Minato-Ku di Tokyo dan dijangka kembali ke Malaysia pagi esok (Rabu).

Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR 


Thursday, November 10, 2011

Belanjawan 2012 - Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat

Sumber : http://selangorku.com/page.php?page=Archive&month=2011-11


Terima kasih Yang Berhormat Dato' Speaker.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wata'ala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam, keluarga serta sahabat-nya.

Sidang Dewan yang dihormati,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1) Sempena hari berbahagia ini, saya mohon mencadangkan agar Rang Undang-Undang bertajuk "Suatu Enakmen bagi penggunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2012, dan peruntukan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut" dibacakan untuk kali kedua. Terima kasih.

2) Alhamdulillah, marilah kita mengucapkan syukur kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala kerana diizinkan-Nya untuk bersama hadir di dewan yang mulia ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu serta Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada Ahli Yang Berhormat dan seluruh umat beragama Islam. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2012 dan tema pada tahun ini adalah "Selangorku: Hasil Negeri untuk Rakyat".

3) Pada Mac tahun hadapan genaplah empat tahun dan bermula tahun kelima pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Dalam tempoh itu, saya percaya banyak perkara telah dilalui.
Dalam hampir 4 tahun Pakatan Rakyat
Ambillah kebaikan sebagai pendorong kekuatan kita untuk mempertahankan kemuliaan insan dan menjadikan kehidupan yang ada semakin baik berbanding sebelumnya. Jadikanlah kelemahan sebagai satu peringatan bahawa kita memerlukan penambahbaikan berprinsip, bertanggungjawab serta bernas untuk membolehkan agenda reformasi berjalan dengan baik khususnya di negeri Selangor.

4) Baru-baru ini Ketua Audit Negara telah membentangkan Laporan Audit Negara 2010. Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha gigih yang telah dilakukan. Sebarang teguran dan cadangan pembaikan yang dikemukakan sedang dilihat dan akan diambil tindakan sewajarnya.

5) Dari Laporan Audit tersebut, saya yakin rakyat boleh menilai keutamaan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor. Menggunakan hasil negeri untuk rakyat tentulah jauh lebih baik daripada korupsi dan pemberian projek yang hanya menguntungkan segelintir pihak.
Laporan juga menyerlahkan ketirisan tidak kurang dari 30% dari keseluruhan peruntukan Bajet Persekutuan dan telah berlaku dalam pelbagai bentuk. Ia seolah-olah Laporan Audit 2009 tidak langsung diambil iktibar oleh kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkenaan. Lebih malang lagi apabila laporan turut melaporkan terdapat pengkhianatan terhadap golongan yang paling memerlukan seperti para petani, nelayan dan penternak.

6) Sejak 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha agar reformasi pentadbiran, perniagaan dan pembangunan dapat dijalankan. Pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat tidak bergerak dalam ruang vakum, sebaliknya perlu bergerak dengan apa yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

7) Di peringkat awal, pentadbiran baharu ini dikejutkan oleh data kewangan bilamana peruntukan untuk wakil rakyat telah habis digunakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Ini bermaksud peruntukan bagi tahun 2008 itu telah dihabiskan sebelum bulan Mac 2008. Namun kita lalui saat getir tersebut dengan selamba dan akhirnya kita berjaya tanpa sebarang prejudis terhadap kepentingan rakyat.

8) Pentadbiran baharu juga mendapati banyak perkara lain yang memerlukan reformasi dan ini diambil sebagai cabaran. Ini telah dilakukan melalui sasaran dua objektif penting iaitu menjadikan badan kerajaan sebagai institusi yang berintegriti tinggi dan pengukuhan struktur kewangan negeri. Dua objektif ini tentulah mudah disebut tetapi secara realitinya memerlukan iltizam politik (political will) untuk melaksanakannya dan kesabaran sebelum mendatangkan hasil. Sesungguhnya kegemilangan sebuah tamadun tidak dibina dalam sehari dua, sebaliknya boleh runtuh dengan sekelip mata jika tanggungjawab dan amanah diabai dan dikhianati.
Sidang dewan yang dimuliakan,

9) Sebelum membentangkan Belanjawan 2012 ini, eloklah dijelaskan di sini tentang dua objektif yang dinyatakan tadi. Dalam hal menjadikan pentadbiran kerajaan sebagai sebuah institusi berintegriti tinggi, beberapa pendekatan telah diambil misalnya dengan penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOIA) dan pengenalan tender terbuka untuk persaingan sihat dalam perniagaan.

10) Berkaitan pengukuhan infrastruktur kewangan pula, kita boleh merujuk kepada Laporan Audit Negara 2010 yang telah merumuskan kedudukan kewangan negeri Selangor sebagai memuaskan. Baki Kumpulan Wang Disatukan pada tarikh 31 Disember 2010 mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Akaun Hasil Disatukan telah mencatatkan lebihan pada tahun 2010 dan prestasi pembayaran hutang awam adalah sangat baik.

11) Saya ingin mengumumkan di Dewan yang mulia ini bahawa Simpanan Tunai Selangor telah mencecah RM1,212 ( Satu Ribu Dua Ratus Dua Belas ) juta. Jumlah ini merupakan simpanan tertinggi yang pernah dicapai sejak 28 tahun yang lalu. Daripada jumlah ini, RM946.65 juta dalam bentuk simpanan cair (liquid reserve) dan selebihnya dalam bentuk simpanan amanah (trust reserve).
(Lampiran 1 - Laporan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Selangor seperti pada 30 September 2011 dibekalkan kepada Sidang Dewan).

12) Ada pihak yang cuba memperlekeh kejayaan ini dengan menyatakan bahawa kononnya jumlah tunai yang banyak ini tidak semestinya baik kerana dalam ekonomi, "adalah lebih baik simpanan ini digunakan untuk mendorong kesan berganda (multiply effects)".

13) Sukacita saya jelaskan bahawa Simpanan Tunai yang tinggi ini adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negeri, juga kepada bank-bank dan para kontraktor akan keupayaan kerajaan negeri mentadbir dan membuat pembayaran. Simpanan tunai yang selesa juga akan membolehkan Negeri Selangor menghadapi sebarang risiko serta situasi tidak menentu (volatility). Apatah lagi bajet Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi kemuncupan ekonomi dunia.

14) Apa yang lebih penting pada saya ialah pencapaian ini berjaya direalisasikan melalui pengurusan kewangan yang baik seperti tertera dalam Laporan Audit Negara 2010. Pada masa yang sama kita dapat meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat. Ini terbukti apabila sejumlah lebih RM500 juta hasil negeri telah diterjemahkan kepada pelbagai jenis program kebajikan di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak Mac 2008.
(Lampiran 2 - Laporan Ringkas Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor).
Yang Berhormat Dato' Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dimuliakan,
EKONOMI GLOBAL, SERANTAU DAN MALAYSIA

15) Ekonomi global mulai tumbuh pada kadar sederhana dan perlahan pada suku kedua tahun ini. Ini ditandai oleh ketidakstabilan ekonomi di peringkat serantau, tekanan kewangan dan isu pengangguran. Selain itu, bencana alam seperti Tsunami dan gempa bumi turut mempengaruhi aktiviti perdagangan. Isu hutang negara Amerika Syarikat dan Eropah mempengaruhi dana yang boleh dilaburkan di luar negara kerana para pelabur lebih cenderung membuat pelaburan di dalam negara. Ini bermaksud dana untuk pembangunan akan berkurangan.

16) Namun, prospek ekonomi global Bank Dunia menjelaskan bahawa secara umumnya krisis ekonomi global tidak lagi menjadi daya utama yang menentukan corak aktiviti ekonomi di negara-negara membangun. Prospek ini sekaligus memberi maksud pertumbuhan ekonomi setempat kini terletak kepada faktor sektoral dan produktiviti di setiap negara.

17) Untuk tahun 2011 ini, Institut Penyelididikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kadar 4.6 peratus. Unjuran ini dijelaskan berikutan tinjauan suku ketiga yang menunjukkan kesan perkembangan ekonomi global kepada pertumbuhan eksport di Malaysia.

18) Sehingga suku kedua 2011, sektor pembuatan tumbuh pada kadar 2.1% dan ia didorong oleh industri domestik. Sektor ini telah menerima kesan ketara akibat bencana alam.

19) Sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara dengan sumbangan sebanyak 58.4% sehingga suku kedua 2011. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1% berbanding tahun sebelumnya dan ia dijangka tidak terjejas dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Subsektor perniagaan dan hartanah, kewangan dan insurans, perniagaan borong dan runcit serta komunikasi dan perhubungan menunjukkan peningkatan dan kestabilan.

20) Sektor pertanian pula tumbuh sebanyak 6.9% sehingga suku kedua tahun ini. Pencapaian ini didorong oleh subsektor kelapa sawit dan getah yang menerima permintaan tinggi di pasaran global. Pertumbuhan subsektor kelapa sawit yang mencecah 22.3% disumbangkan oleh hasil tinggi kualiti minyak daripada pengekstrakan buah kelapa sawit yang segar. Faktor hujan dan banjir di Thailand juga turut mengalih permintaan daripada negara itu kepada negara kita.
PERTUMBUHAN SELANGOR

21) Selangor adalah penyumbang utama kepada petunjuk ekonomi negara. Sejak tahun 2008 hasil negeri terus cuba ditambah dan Selangor telah menyumbang lebih dari 20% dari keseluruhan jumlah pelaburan dalam negara. Sehingga suku kedua tahun ini, KDNK negeri tumbuh pada kadar 5.0%.
SEKTOR UTAMA

22) Sektor Utama Pertanian diunjurkan tumbuh sebanyak 5.2% untuk tahun 2011 didorong oleh peningkatan subsektor Tanaman Kelapa Sawit, Perikanan, Agro Pertanian dan juga Ternakan. Pengeluaran minyak kelapa sawit bagi negeri Selangor pada suku kedua juga meningkat sebanyak 18.7% berbanding suku sebelumnya kerana pertambahan permintaan domestik dan luaran.

23) Sektor Utama Perlombongan didorong oleh Subsektor Kuari yang diunjurkan mengalami peningkatan minimum 0.1% bagi tahun 2011 berbanding tahun 2010 berikutan peningkatan dalam Sektor Pembinaan.
SEKTOR PERINDUSTRIAN

24) Subsektor Pembinaan diunjurkan tumbuh secara positif pada kadar 4.8% bagi tahun 2011. Ini berdasarkan perancangan pembinaan perumahan, rekreasi, bangunan komersil dan juga kerja-kerja baik pulih.

25) Sektor Pembuatan yang diunjurkan meningkat sebanyak 0.5%, daripada 32.4% kepada 32.9%, sekaligus membentuk sumbangan sektor Perindustrian kepada KDNK negeri Selangor sebanyak 37.7%.
SEKTOR PERKHIDMATAN

26) Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK negeri Selangor iaitu sebanyak 57.4%. Nilai ditambah terbanyak disumbang oleh Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan dan Restoran dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.7% bagi tahun 2011. Sementara itu, Subsektor Kewangan, Insurans, Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan pula mengalami peningkatan dengan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 4.1%. Sektor Kecil Perkhidmatan Lain dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 4.0% dan Sektor Perkhidmatan Kerajaan pula diunjurkan mencapai pertumbuhan pada kadar 3.7%.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

STRATEGI BELANJAWAN 2012

27) Selangor kini memasuki era baru dengan membentangkan Belanjawan Reformasi yang melibatkan pendapatan kerajaan negeri dan hasil dividen dari Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC). Saya bentangkan dahulu Belanjawan Berimbang hasil pendapatan kerajaan negeri dengan tema 'Selangorku: Hasil Negeri untuk Rakyat'.

28) Belanjawan 2012 ini adalah kesinambungan kepada 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' yang menjadi tema tahun lalu dengan beberapa penyesuaian tambahan berdasarkan perkembangan semasa. Antara penyesuaian penting yang diambil kira ialah Pelan Tindakan dan Visi untuk Tiga Tahun yang dinamakan Agenda Selangorku. Dokumen ini telah dilancarkan semasa Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia di peringkat negeri Selangor pada 16 September 2011.

29) Belanjawan 2012 adalah berdasarkan Empat (4) Strategi Utama, iaitu:
i. Meningkatkan kecekapan pentadbiran,
ii. Meningkatkan kualiti asas kehidupan keluarga dan masyarakat,
iii. Melestari pembangunan, dan
iv. Mendorong masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan hidup sihat.

30) Semua strategi ini mengambil kira keperluan holistik pembangunan fizikal dan manusia, pengukuhan prinsip serta kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban pengurusan dan keseimbangan antara pelbagai elemen bagi membolehkan hasil optimum dapat dicapai. Reformasi dari segi pengurusan dan penggunaan akan terus diusahakan sehingga ia menjadi budaya bersama.

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENTADBIRAN

31) Kecekapan pentadbiran adalah penting bagi mendorong lebih banyak produktiviti dihasilkan. 'Padang permainan' ekonomi dunia kini menuntut lebih penghargaan bagi setiap masa dan tenaga yang dikeluarkan. Jika kita gagal memahami dan bertindak selaras dengan perubahan 'padang permainan' ini, kita bukan sahaja akan tertinggal bahkan berkemungkinan berdepan dengan masalah kuasa beli yang merosot meskipun berlaku kenaikan gaji. Sebagai contoh, kenaikan gaji di negara kita sejak 15 tahun lalu adalah pada kadar 2.6% berbanding dengan kenaikan harga barang meningkat berkali ganda daripadanya.

32) Di samping itu, kita perlu mengambil iktibar daripada Laporan Audit Negara yang mendedahkan ketirisan berterusan dalam ekonomi negara. Kita dapat melihat bagaimana wang dibazirkan dengan cara yang tidak sepatutnya, malah sangat diragukan. Perkara ini bukan perkara baharu, akibatnya rakyat semakin kecewa kerana kesalahan lama tetap diulang, kerana kerajaan mengambil mudah apa yang dibentangkan oleh laporan tersebut. Harga belian bekalan yang tidak munasabah menunjukkan perancangan yang tidak teliti, membazir dan curang.

33) Jelaslah bahawa cabaran yang ada cukup besar. Justeru pada tahun ini kita telah mengukir sejarah apabila kita menggunakan pendekatan rundingan sebelum Belanjawan 2012 ini dirangka dan seterusnya diunjurkan. Jika dahulu Dialog Belanjawan dibuat di peringkat negeri serta bersama para penggerak industri, Belanjawan 2012 pula melibatkan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bertemu rakyat di setiap kawasan kerajaan tempatan dan mendengar serta mendapatkan pandangan mereka tentang keutamaan yang diperlukan di kawasan masing-masing untuk dianalisa dan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2012.

34) Kerajaan Negeri Selangor percaya pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mendekati pelanggan-pelanggan serta pihak-pihak berkepentingan yakni rakyat jelata sebelum perancangan menyeluruh dilakukan.

Yang Berhormat Dato' Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang dihormati,

35) Dalam memperihalkan Belanjawan ini, pendekatan yang mahu diambil perlu diubah. Lazimnya, Belanjawan dilihat dalam konteks perlaksanaan setahun. Pandangan ini tidaklah salah tetapi dalam hal belanja pembangunan, ia mesti diunjur melebihi tempoh setahun. Ini penting kerana rancangan untuk pembangunan lazimnya memerlukan gerak kerja yang lebih panjang tempoh masanya.

36) Termasuk dalam soal kecekapan pentadbiran ini ialah pengurusan sumber negeri secara bijaksana. Ini melibatkan hasil dan agihan perbelanjaan mengikut keperluan. Seperti yang telah disebutkan di awal ucapan tadi, Selangor cukup bertuah kerana mempunyai banyak sumber dan hasil. Kerajaan Negeri Selangor percaya sekiranya hasil ini diuruskan dengan berhemah, ia dapat memberi lebih pulangan kepada semua. Sekiranya tidak, ia hanya akan memperkaya segelintir pihak.

37) Penyumbang utama Hasil Kerajaan Negeri Selangor ialah kutipan cukai dan urusniaga berkaitan tanah oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS). Kutipan ini meliputi sehingga 68% keseluruhan hasil negeri dalam tempoh setahun. Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha menambah hasil pasir dan juga sumber lain dengan menjalankan tadbirurus yang baik.

38) Selari dengan slogan Selangorku, Kerajaan Selangor mahukan seluruh rakyat negeri ini memiliki tanah dan rumah kediaman. Bukan tinggal sebagai setinggan dan duduk merempat di negeri sendiri. Kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana Pejabat-pejabat Daerah Tanah dan Galian akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah-tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

39) Ribuan geran tanah telah berjaya dikeluarkan bagi maksud ini. Namun terdapat juga golongan yang kurang mampu dan gagal membayar premium yang dikenakan.

40) Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan reformasi dengan memperkenalkan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan untuk tujuan pembinaan kediaman persendirian di mana rakyat mempunyai pilihan samada membayar keseluruhan harga premium dan mendapat diskaun 30% ATAU memilih untuk membayar premium RM1,000 dahulu dan bakinya hanya perlu dijelaskan apabila hartanah tersebut dijual.

41) Alhamdulillah, reformasi dalam pemilikan tanah ini telah disambut baik oleh orang ramai dan Kerajaan Negeri Selangor berharap lebih banyak masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama sebelum ini dapat diselesaikan secara tuntas.

42) Walaupun Selangor telah diisytihar sebagai negeri maju pada 2005, namun kita merasakan prasarana pentadbirannya belum lagi menunjukkan kita sebuah negeri maju. Timbunan fail-fail di pejabat tanah tidak kurang dari 2 juta fail. Justeru Kerajaan Negeri Selangor telah menempa sejarah dengan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memindahkan fail-fail tanah ke dalam bentuk elektronik. Usaha ini sedang berjalan lancar dan InsyaAllah akan dapat diselesaikan pada tahun hadapan. Sebaik sahaja selesai urusan pemindahan ini, kita akan memperkenalkan konsep 'dari pejabat tanah ke rakyat' (from land office to the people).

43) Melalui sistem ini semakan hak milik boleh dilakukan melalui internet dan kakitangan pejabat tanah akan turun padang untuk bertemu rakyat, khususnya di kawasan kampung bagi menyemak status pemilikan mereka. Saya yakin konsep pergi kepada pelanggan (from office to the people) ini penting, bukan sahaja dapat mengurangkan kerenah birokrasi malah dapat meringankan kos yang ditanggung rakyat. Kaedah ini pasti akan berkembang pada masa akan datang dan Selangor berbangga menerajuinya. Untuk tahun 2012, peruntukan berjumlah RM6 juta akan diberikan bagi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat.

44) Sehingga akhir September tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor mengutip sebanyak RM26.9 juta melalui cukai hiburan. Peningkatan sebanyak 2.13% berbanding kutipan tahun lalu pada tempoh yang sama. Jumlah hasil cukai hiburan pada tahun lalu sehingga Disember 2010 berjumlah RM32.5 juta.

45) Terimaan bukan hasil bagi tahun 2011 ialah sebanyak 168.8 juta, meningkat sebanyak 4.72% berbanding terimaan pada tempoh yang sama bagi tahun 2010.
Yang Berhormat Dato' Speaker dan Sidang Dewan yang dihormati,

46) Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitulah juga dengan isu air yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Apatah lagi kebanyakan dari yang cuba memberi komen, saranan dan ugutan tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan pengetahuan dalam isu air ini. Dalam pada kita kesal kerana kepincangan yang telah didedahkan dalam pengurusan air di negeri Selangor ini dipandang ringan oleh Kerajaan Persekutuan, namun kita bersyukur akhirnya seluruh rakyat memahami isu sebenar, punca dan akibat daripadanya.

47) Izinkan saya mengambil sedikit masa menerangkan isu ini dengan lebih mendalam. Penswastaan industri air di Selangor bermula pada tahun 1994 dengan operasi rawatan oleh Puncak Niaga, diikuti oleh SPLASH, ABASS dan akhirnya SYABAS pada Disember 2004, hanya memberi lebih manfaat kepada syarikat konsesi berbanding rakyat negeri Selangor. Selepas kelemahan operasi SYABAS didedahkan dalam Laporan Audit Negara pada tahun 2008, satu notis telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberitahu penamatan konsesi SYABAS. Namun ia tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

48) Sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha membolehkan penstrukturan industri air dibuat untuk manfaat rakyat negeri ini.

49) Sejak itu dan sehingga Januari tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat tiga tawaran untuk mengambil alih dan menstrukturkan semula industri air di Selangor dan ia telah diterima oleh ABASS dan SPLASH. Puncak Niaga dan juga SYABAS kekal menolak tawaran ini. Meskipun terdapat kelemahan dalam pengurusan SYABAS, misalnya dalam pelaburan penukaran paip, kenaikan tarif air yang tentunya boleh menambah beban rakyat Selangor cuba diusulkan. Jika kita mengambil kira kadar kenaikan tarif air pada tahun 2009 dan 2012, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71% berbanding kadarnya pada tahun 2008 sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan kadar kenaikan tarif tersebut.

50) Kini, rakyat cuba dimomokkan pula dengan kemungkinan Selangor menghadapi masalah air menjelang tahun 2014. Kerajaan Negeri Selangor memandang serius perkara ini kerana sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, nasihat oleh pakar industri air telah diambil. Berdasarkan unjuran pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang ada mampu menampung keperluan seluruh Lembah Klang adalah sehingga 2019. Momokan kepada rakyat untuk mendesak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan Projek Penyaluran Air Mentah adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana kajian berkaitan sumber lain serta pengurangan kadar air tanpa hasil (non-revenue water) tidak dilakukan.

51) Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak hakikat bahawa Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor boleh memberikan tambahan kepada bekalan air yang diperlukan, namun biarlah ia dibuat dengan lebih teliti agar ia dapat dilaksanakan dengan baik dan telus. Tuntutan Kerajaan Negeri Selangor dalam hal pengurusan dan bekalan air yang tidak memuaskan oleh SYABAS dan Puncak Niaga mesti turut diambil kira.

52) Malangnya kerajaan Persekutuan nampaknya lebih sanggup membela kroni perniagaan berbanding rakyat Selangor. Namun ia tidak mematahkan semangat kita untuk terus menjaga kepentingan rakyat Selangor. Kerajaan Negeri telah melantik Juru Perunding Kejuruteraan; Tetuan Erinco Sdn Bhd untuk melakukan carian, semakan dan penandaan ke atas semua asset air Selangor dan seterusnya melakukan nilaian terhadap aset-aset tersebut. Harus diingat, aset-aset negeri ini telah digunakan secara percuma oleh kroni yang mendapat konsesi air sedangkan rakyat pula yang dibebankan dengan caj yang tinggi.

53) Pada Jun 2011 maka selesai penilaian yang dilakukan oleh firma tersebut dan nilai asset air rakyat Selangor berjumlah RM12,000 ( Dua Belas Ribu ) juta. Inilah yang saya maksudkan sebentar tadi bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. Pertarungan antara rakyat Selangor, Syarikat Konsesi Kroni dan Kerajaan Persekutuan akhirnya telah memberi kita makluman bahawa rakyat Selangor mempunyai harta air berjumlah RM12 ribu juta. Harta yang selama ini tidak dipedulikan kerajaan terdahulu dan sewenang-wenangnya digunakan oleh syarikat kroni ini adalah milik rakyat Selangor.

54) Nilai aset air negeri ternyata jauh lebih tinggi daripada aset air pemegang konsesi. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu sebagai satu pendekatan memulangkan hasil negeri untuk rakyat. Ini bererti jika setiap isi rumah menggunakan 20 meter padu atau lebih setiap bulan, Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun untuk mereka. Pemberian ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan bagi isi rumah, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

55) Meskipun kita telah membuktikan rakyat Selangor mempunyai lebih hak terhadap pengurusan air namun nampaknya Persekutuan masih mahu terus memihak kepada syarikat kroni; SYABAS dan Puncak Niaga. Pada Mei 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan satu model holistrik penstrukturan semula industri air Selangor. Model ini akan menyaksikan Agensi Bertujuan Khas Negeri (State Special Purpose Vehicle) menguruskan industri air ini secara meluas, daripada rawatan sehingga kepada agihan, pengeluaran bil serta khidmat pelanggan dan memajakkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); agensi yang ditubuhkan untuk memiliki seluruh aset air negara.

56) Dengan industri air negara telah distrukturkan melalui pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air (2006), cadangan Kerajaan Negeri Selangor memerlukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasanya seperti yang terdapat dalam Akta tersebut untuk mengarahkan semua syarikat konsesi menyertai rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengambilalihan.

57) Kerajaan Negeri Selangor juga menawarkan rundingan diletakkan di bawah arbitrasi antarabangsa dan sebarang keputusan yang terhasil akan diterima sebagai keputusan akhir. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak mahu berbincang mengenainya. Malah, mesyuarat terakhir antara Kerajaan Persekutuan dan pegawai Kerajaan Negeri pada September 2011 menunjukkan mereka hanya berminat untuk mendesak Projek Pemindahan Air dan tidak mahu berbincang tentang isu penstrukturan industri air yang memberi manfaat kepada semua pengguna di Selangor.

58) Selain menolak perbincangan ini, Kerajaan Persekutuan turut membiayai Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), sebuah syarikat dalam senarai bursa yang pemegang saham majoritinya ialah SYABAS dan Puncak Niaga. Pembiayaan ini dilakukan melalui subsidiari milikan penuh PAAB yang telah menandatangani persetujuan pada 1 November 2011 untuk membeli bon yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga pada nilai nominal RM546,875,000 daripada PAAB. Puncak Niaga Holdings Berhad menggunakan dana yang diterima daripada pembelian semula bon yang dikeluarkan pada tahun 2001.

59) Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa sebarang perbincangan tentang masa depan Projek Pemindahan Air perlu dibincangkan bersama penstrukturan industri air di Selangor. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pada Oktober 2011 kerajaan Selangor telah melantik syarikat juruperunding HALCROW untuk membuat audit kewangan dan teknikal ke atas SYABAS. Apa yang mahu ditegaskan ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat menerima Projek Pemindahan Air dijalankan bersama industri air yang lemah dan pada kadar yang membebankan rakyat.

60) Sekiranya cadangan Kerajaan Negeri Selangor diterima, kenaikan tarif sebanyak 71% yang dicadangkan oleh SYABAS boleh dielakkan. Di bawah cadangan Kerajaan Negeri Selangor juga, Agensi Bertujuan Khas Negeri hanya akan melaksanakan peningkatan pada kadar 12% sahaja bagi penjimatan dan mengelakkan pembaziran. Justeri, kenaikan tarif hanya akan berlaku pada kadar minima yang boleh dibiayai bersama.

61) Untuk makluman Tuan-tuan Yang Berhormat, lebih 1.2 juta isi rumah menerima pemberian air 20 meter padu ini dan jika kita mengambil jumlah isi rumah seramai empat hingga lima orang, bermakna hampir seluruh penduduk di Selangor menerima sumbangan ini.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

MENINGKATKAN KUALITI ASAS KEHIDUPAN KELUARGA DAN MASYARAKAT

62) Strategi seterusnya ialah meningkatkan kualiti asas hidup keluarga dan masyarakat. Selain daripada Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), pemilikan tanah dan rumah serta kemudahan asas untuk pelbagai kegiatan kemasyarakatan akan diberikan perhatian. Turut menjadi keutamaan dalam strategi ini ialah menambahbaik perkhidmatan pembersihan di setiap kawasan.

63) Antara penemuan diperolehi dalam dialog Belanjawan di peringkat Kerjaaan Tempatan ialah keperluan menambahbaik kerja-kerja pelupusan dan pengangkutan sampah. Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan agar Kerajaan Tempatan mengambil alih kerja-kerja pembersihan yang selama ini dilakukan oleh Alam Flora sejak sekitar 10 tahun yang lalu.

64) Sebagai langkah pengukuhan, Kerajaan Negeri Selangor telah meminta pihak SIRIM untuk menilai seluruh proses gerak kerja yang dilakukan sebelum ini dan mencadangkan penambahbaikan yang boleh diambil. Pemberian tender juga akan melalui saringan oleh kumpulan profesional. Kerajaan Negeri Selangor berpendapat, kegagalan Alam Flora untuk memberikan perkhidmatan yang memuaskan bercanggah dengan tujuan sebenar penswastaan. Sebahagian peranannya sebagai 'orang tengah' hanya merugikan operator sebenar dan juga rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan. Justeru, tindakan untuk mengambil alih ini adalah perlu sehingga satu disiplin persaingan sebenar dalam sistem pengurusan sampah dapat dicapai. Ini bukanlah masalah baru di Malaysia tetapi ia semakin menunjukkan masalah sebenar akibat dari amalan kronisme.

65) Bagi tahun 2012, sebanyak RM7 juta akan diperuntukkan untuk pemuliharaan tapak pelupusan sampah Kubang Badak, Air Hitam, Sungai Kembong, Pulau Ketam dan Sungai Kertas. Peruntukan ini juga akan disalurkan untuk rehabilitasi Sungai Kembong.

66) Untuk menyokong kebersihan kawasan dan keperluan tempat kegiatan masyarakat juga, peruntukan sebanyak RM3 juta akan diberikan bagi Program Zon Bersih, pembaikan kemudahan awam di PBT, termasuk taman permainan dan rekreasi. Untuk infrastruktur asas di PBT, peruntukan sebanyak RM2 juta akan disediakan.

67) Dalam aspek lain, usaha meningkatkan kualiti asas kehidupan ini juga akan dijalankan melalui Program Kerajaan Perihatin. Sejumlah RM4 juta akan diperuntukkan untuk kos tambahan bina baru dan baik pulih rumah di samping bantuan bencana alam, bekalan makanan asasi, penyelenggaraan rumah PPRT, baik pulih lif rumah kos rendah dan penyerahan kunci pemilikan rumah. Peruntukan sebanyak RM500 ribu lagi akan disediakan bagi memperbaiki dewan orang ramai sedia ada.

68) Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa rumah sebagai tempat tinggal adalah penting kerana ia merupakan satu daripada keperluan asas hidup manusia. Justeru, perumahan pada kadar harga patut perlu disediakan. Menurut satu kajian berkaitan rumah mampu milik oleh Bank Negara Malaysia bahawa harga rumah meningkat daripada 5.9 kali ganda pendapatan pada tahun 1989 kepada 10.9 kali ganda pendapatan pada tahun 2010. Jika ini terus dibiarkan, ia boleh meningkat lebih tinggi.

69) Saya juga maklum tentang laporan manipulasi oleh pemaju yang tidak mahu menjual rumah dalam pembinaan dengan alasan ianya telah dibeli dan hanya menjualnya selepas siap di mana harganya telah meningkat. Sekiranya ada bukti nyata dapat ditemui, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini penting kerana kita semua mesti belajar daripada salah urus di Amerika Syarikat sehingga memberi kesan kepada ekonomi global.

70) Semasa tempoh awal pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah dimaklumkan bahawa terdapat 140 projek perumahan dibiarkan terbengkalai. Kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran dahulu ini tentulah sesuatu yang sangat mendukacitakan dan tidak wajar dibiarkan berulang. Justeru, inisiatif telah diambil untuk memulihkannya. Setakat ini 23 projek pemulihan telah dilaksanakan melibatkan 9179 buah rumah.

71) Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi fokus kepada penyediaan rumah mampu milik selepas berjaya menyelesaikan Projek Perumahan di Bukit Botak, satu lagi masalah berlarutan yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu tanpa penyelesaian.

72) Rumah mampu milik dengan keluasan 850 hingga 1000 kaki persegi ini dikhususkan kepada golongan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. Dianggarkan PKNS akan membina sebanyak 11,000 unit rumah setiap tahun. Projek sulungnya telah pun dilancarkan di Bangi beberapa bulan lalu.

73) Apa yang mahu saya jelaskan di sini, rumah mampu milik yang akan dibina ini akan dijual pada harga sekitar RM100,000 ke RM150,000. Ini adalah jauh lebih murah berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dijual melebihi RM200,000.

74) Saya mahu tegaskan di sini bahawa jika kita jujur dan mahu menguruskan ekonomi dengan lebih baik, perbezaan ketara yang ditunjukkan melalui projek ini tidak harus berlaku. Saya percaya produktiviti rakyat akan bertambah lebih baik sekiranya mereka tidak dibebankan dengan kos sara hidup yang tidak bergerak selari dengan kenaikan gaji. Lebih malang lagi jika kos ini dibebankan kepada mereka hanya untuk memperkaya sejumlah pihak yang dilindungi oleh dasar-dasar tempang.

75) Kerajaan Negeri Selangor juga akan berusaha memastikan hanya mereka yang layak sahaja diberikan peluang untuk membeli rumah mampu milik ini. Kita tidak mahu mengulangi kecuaian lama di mana rumah untuk rakyat termiskin telah dibeli oleh orang yang jauh lebih besar kemampuannya dan kemudian disewakan kepada golongan sasar sebenar. Sikap demikian adalah pengkhiantan dan tidak wajar dibiarkan.

76) Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk memasang kamera litar (CCTV) di kawasan-kawasan strategik dengan pencahayaan yang baik untuk tujuan peningkatan keselamatan dan pencegahan jenayah.

Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua dan Sidang Dewan,

MELESTARIKAN PEMBANGUNAN

77) Melestarikan pembangunan adalah strategi ketiga untuk Belanjawan 2012. Ia bermaksud pembangunan yang mengambil kira aspek alam sekitar, khazanah seni-budaya dan jurang antara luar bandar dan bandar.

78) Selain daripada pembangunan kualiti asas kehidupan yang dinyatakan sebelum ini, program alam sekitar yang bersifat penyelidikan dan pendidikan akan dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM400 ribu. Pemuliharaan bio-kepelbagaian pula akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50 ribu.

79) Kerajaan Negeri Selangor juga ingin mengumumkan bahawa Teater Diraja Selangor telah dipulihkan dan akan boleh beroperasi pada bulan Disember nanti insyaAllah. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor berbesar hati untuk menambah peruntukan kebudayaan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan ini. Program-program kebudayaan yang dimaksudkan di sini termasuk aktiviti seni dan teater serta dialog dan kolokium.

80) Kawasan-kawasan bersejarah di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor juga akan ditambah baik. Tambahan sebanyak RM500 ribu akan diberikan untuk pembangunan muzium di Istana Bandar, Jugra dan RM2.7 juta lagi bagi menaiktaraf Muzium Sultan Alam Shah.

81) Dalam aspek pembangunan desa dan luar bandar, termasuk Kampung Baru, Kampung Bagan dan Kampung Tersusun, peruntukan berjumlah RM14.5 juta akan disediakan. Ini melibatkan penyediaan pusat pengumpulan hasil dan juga ekonomi desa di samping memperkasa ilmu dan kemahiran masyarakat desa. Termasuk dalam peruntukan ini ialah baik pulih infrastruktur jalan di luar bandar, pembangunan kecil di kampung baru, kampung bagan serta kampung tersusun dan latihan kepada para penggerak di kawasan-kawasan terbabit. Tambahan sebanyak RM500 ribu juga disediakan untuk pembangunan pinggir bandar.

82) Dalam aspek pembasmian kemiskinan, RM 2 juta akan diperuntukkan kepada kumpulan sasar yang layak. Program pembangunan ekonomi bagi petani, nelayan dan penternak pula akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.2 juta. Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan kebajikan. Program Pembangunan Pekerja Ladang akan diperuntukkan sebanyak RM300 ribu.

83) Pembangunan lestari juga mengambil kira kawasan dan produk untuk dinikmati melalui pelancongan. Bagi tujuan promosi dan pembangunan produk pelancongan termasuk kraf tangan, sebanyak RM4.7 juta diperuntukkan. Industri kampung pula akan diberikan peruntukan sebanyak RM2 juta dan promosi Industri Kecil dan Sederhana akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM300 ribu. Ini tidak termasuk galakan untuk satu kampung satu produk yang akan diperuntukkan sebanyak RM100 ribu.

84) Sebagai insentif kepada jawatankuasa penduduk yang aktif, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperkenalkan pelekat kenderaan untuk pengecualian bayaran di parkir milik Kerajaan Tempatan masing-masing. Semoga insentif ini dapat memudahkan mereka untuk bergerak dan menjalankan urusan kepentingan setempat.

85) Selain itu, latihan untuk jawatankuasa penduduk akan diberikan dengan penekanan kepada kemahiran kepimpinan, kemahiran berfikir dan juga pendedahan kepada konsep Pembangunan Komuniti Berasaskan Aset (Asset-Based Community Development (ABCD). Konsep ini penting dalam usaha pembangunan lestari di mana penghakupayaan dapat berlaku dengan penglibatan aktif penduduk menggunakan aset setempat secara optimum. Saya yakin sekiranya seluruh kemahiran ini diaplikasikan, ia akan mendorong banyak penyelesaian dengan cekap.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

MENDORONG MASYARAKAT BERILMU, BERAKHLAK MULIA DAN HIDUP SIHAT

86) Seterusnya sebagai strategi keempat, Kerajaan Negeri Selangor akan mendorong masyarakat berilmu dan berakhlak. Hasrat ini penting kerana sesungguhnya sistem itu tidak akan bergerak sendiri melainkan digerakkan oleh manusia. Maka, sistem yang baik memerlukan masyarakat yang berilmu dan berakhlak sebagai pemacunya.

87) Program Pendidikan yang memuatkan antara lain Pusat Tusyen Rakyat dan Program Pendidikan Tinggi untuk mahasiswa negeri Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM4 juta, dengan masing-masing akan mendapat RM2 juta.

88) Selain daripada itu, Program SPIES akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta dan Program Generasi Idaman Selangor (GEMS) akan melibatkan perbelanjaan RM1 juta. Sebagai penambahbaikan kepada program ini, Kerajaan Negeri Selangor akan menilai modul dan impaknya kepada para peserta yang telah mengikuti siri latihan terdahulu. Penilaian terhadap kos perunding latihan di bawah program ini juga akan disemak semula.

89) Bagi Tabung Pendidikan untuk Anak Pekerja Ladang, peruntukan berjumlah RM 1 juta akan diberikan. Masyarakat Orang Asli juga akan diperuntukkan sebanyak RM100 ribu untuk pembangunan mereka. Program-program untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim dan kanak-kanak akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1 juta. Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembasmian kemiskinan dengan pemberian khusus sebanyak RM100,000 kepada anak-anak pesawah padi.

90) Untuk menggalakkan fungsi agama dan budaya sebagai sumber pendidikan akhlak, bantuan pendidikan yang diberikan untuk Sekolah Agama, Sekolah Tamil dan Sekolah Cina sebanyak RM16 juta setahun diteruskan. Selain daripada itu, rumah ibadat bagi agama dan kepercayaan bukan Islam juga akan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta.

91) Seterusnya, Projek Pembangunan Belia akan menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta. Peruntukan lain yang banyak dikaitkan dengan anak muda juga ialah Pembangunan Sukan, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4 juta. Pusat latihan belia di Bukit Lagong juga akan ditambah baik dengan peruntukan sebanyak RM100 ribu.

Ahli-ahli Dewan Yang Dimuliakan,

92) Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat untuk memberi latihan bagi kemajuan wanita dan keluarga melalui peruntukan sebanyak RM500 ribu. Adalah diharapkan melalui seluruh bantuan ini, wanita akan lebih berperanan dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

93) Bagi program latihan dan pembangunan usahawan serta latihan teknikal, sebanyak RM2.25 juta akan diperuntukkan.

94) Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kerajaan melalui peruntukan latihan sebanyak RM500 ribu. Ini tidak termasuk semua kemudahan teknologi yang ditingkatkan serta perbelanjaan mengurus dan penyelidikan. Bagi meringankan beban sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang dan tangga gaji yang tidak seimbang, saya juga ingin mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji dengan pemberian minima sebanyak RM500 kepada seluruh kakitangan awam di negeri Selangor, termasuk kakitangan di Kerajaan Tempatan.

95) Berkaitan dengan kepentingan membaca, saya juga ingin memaklumkan bahawa Perpustakaan Awam Negeri Selangor telah pun siap untuk digunakan dengan tarikan yang pelbagai, termasuk dewan seminar dan juga perkhidmatan Teater. Saya juga berharap para perkumpulan ilmu boleh memanfaatkan ruang ini untuk beraktiviti. Sumbangan semua pihak untuk memastikan Perpustakaan canggih dengan kos binaan sebanyak RM70 juta ini dapat diselenggara dengan baik serta dapat memuatkan buku-buku rujukan terbaik juga sangat dialukan.

96) Selain itu, perpustakaan desa dan daerah akan turut dimajukan, khususnya di Klang dan Tanjung Karang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

97) Kerajaan Negeri Selangor akan menggerakkan semua syarikat yang dimiliki kerajaan untuk membuat inovasi dalam operasi mereka, di mana keuntungan yang diperolehi boleh membantu pertumbuhan dan program kerajaan negeri. Sebagai contoh, sebelum ini Kumpulan Semesta telah diberi tanggungjawab mengendalikan kelulusan perlombongan pasir dan perolehan sebanyak RM10 juta disumbangkan kepada warga usia emas dalam program 'Jom Shopping' selepas membuat kutipan royalti sekitar RM35 juta sehingga April tahun ini. Kita menjangka kutipan royalti ini akan bertambah pada tahun hadapan memandangkan banyak projek pembangunan telah diumumkan di peringkat Persekutuan dan akan dibuat di peringkat negeri.

98) Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan diteruskan pada tahun ini. Ini melibatkan Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dengan peruntukan RM 7.5 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti sebanyak RM7.7 juta, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM20.7 juta, RM50 ribu untuk Pusat Khidmat Sehenti, RM2.5 juta untuk Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, RM1 juta untuk Skim Kesihatan Wanita dan RM3 juta untuk Elaun Anak ke Nurseri. Ini akan dibiayai oleh hasil negeri. Selain itu, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu akan tetap diteruskan dan dibiayai oleh dividen syarikat milik kerajaan negeri.

Yang Berhormat Dato' Speaker dan Sidang Dewan,

99) Program-program yang saya sebutkan sejak tadi adalah sebahagian daripada apa yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun hadapan. Dengan jumlah peruntukan yang terbatas, saya ingin mengulangi sekali lagi kepentingan kualiti membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di semua peringkat agar setiap perbelanjaan yang bakal dikeluarkan memberi hasil yang optimum.

Ahli Dewan Yang Dimuliakan,

BAGAIMANA REFORMASI TELAH MEMBERI MANFAAT KEPADA RAKYAT SELANGOR.

100) Bertahun-tahun lamanya pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan syarikat-syarikat pautan kerajaan (GLC) diurus secara tidak teratur dan tidak berdisiplin hingga telah mewujudkan suasana yang bermasalah dengan amalan rasuah, perjanjian usahasama yang berat sebelah dan pemberian projek kepada kroni yang hanya menguntungkan segelintir orang tetapi merugikan rakyat secara keseluruhannya.

101) Sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

102) Kini, setelah empat tahun amalan reformasi, jelas memberi keuntungan yang nyata dan kita percaya ini adalah masa yang sesuai untuk memberi faedah yang dituai dari pentadbiran yang bersih dan telus kepada rakyat Selangor.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

103) Justeru itu, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengumumkan "Geran Selangorku" dengan peruntukan sebanyak RM300 juta yang akan digunakan pada tahun 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

104) Geran ini berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan daripada operasi MBI yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation. Begitu juga hasil dari penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberimilikan tanah mengikut harga pasaran. Jika dahulu keuntungan ini hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta kroni orang-orang yang berkuasa, kali ini habuan besar ini akan kita agihkan kepada rakyat Selangor. Ini sekali gus membuktikan bahawa pentadbiran tanpa rasuah dan kronisma serta pengurusan yang cekap dan tiada ketirisan telah memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor. Inilah hasil reformasi yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini.

105) Geran ini akan diuruselia oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) kerana MBI adalah kenderaan yang paling sesuai untuk menjalankan tanggungjawab ini. Sebagai pemerbadanan yang memegang pelaburan dalam GLC Negeri, MBI mempunyai kuasa penyeliaan ke atas semua GLC Negeri dan oleh itu dapat menyelaras kutipan dana untuk geran ini. Oleh kerana pengurusan MBI adalah bersepadu (integrated) dengan pentadbiran kerajaan negeri, ia mampu untuk memastikan geran di urus dengan baik dan teratur.

106) Program-program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku ini adalah seperti berikut:

i. Pengenalan gaji minima
Bagi syarikat milik kerajaan negeri, pengumuman telah dibuat sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia bahawa gaji minima akan diperkenalkan pada kadar RM1,500 gaji kasar (gross income). Ini akan dimulakan oleh syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya stabil seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide. Bagi syarikat milik kerajaan negeri yang prestasi kewangannya belum stabil, dana sebanyak RM10 juta akan disediakan untuk menampung syarikat kerajaan negeri yang tidak berupaya menampung kos untuk dasar ini.

Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minima. Pemberian gaji minima ini akan disokong oleh produktiviti pekerja yang akan diselaras agar bersesuaian dengannya. Ia bertujuan untuk meningkatkan kemuliaan insan dan tidak diberikan secara unilateral. Hasrat sebenar bukanlah untuk menabur wang tetapi untuk memberi tambahan pengetahuan dan kemahiran kepada pekerja yang berpendapatan rendah. Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan mereka tidak lagi bergantung kepada pemberian pada masa akan datang tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup untuk bersaing dan boleh diguna untuk mencapai gaji yang lebih baik.

ii. Program Memperkasakan Wanita
Geran terhad dengan peruntukan sebanyak RM30 juta akan disediakan untuk Program Memperkasakan Wanita. Ia bertujuan untuk mendorong kesetaraan jantina, membasmi kemiskinan dan membantu penyelesaian pelbagai isu berkaitan wanita. Ini termasuk program keusahawanan sosial (social enterprise) untuk mereka. Keusahawanan sosial adalah pendekatan yang kian popular di dunia di mana strategi niaga digunakan untuk mencapai tujuan sosial yang lazimnya hanya dilakukan oleh yayasan atau badan kebajikan.

iii. Program Keusahawanan Muda
Generasi muda juga akan diberi peluang menambah nilai perniagaan mereka melalui geran terhad sebanyak RM50 juta. Tumpuan akan diberikan kepada inovasi yang boleh memberi kelebihan bandingan (comparative advantage).

iv. Pembinaan Infrastruktur Sukan
Kemudahan infrastruktur sukan akan ditambah dan juga ditingkatkan berdasarkan keperluan dengan peruntukan RM30 juta.

v. Program Sokongan Pendidikan
Sebanyak RM30 juta akan disalurkan untuk sokongan pendidikan kepada sekolah-sekolah yang sangat memerlukan bantuan khususnya dalam menyediakan kemudahan asas bagi pendidikan. Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa isu ini memerlukan perhatian khas semua pihak kerana jurang yang pelbagai dalam masyarakat hanya boleh ditangani dengan lebih baik jika pendidikan berkualiti dapat disediakan.

vi. Program Dari Kebajikan Kepada Pekerjaan (From Welfare to Work)
Sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat ini terutama bagi golongan yang bergantung dengan bantuan kebajikan maka satu program akan diatur untuk mereka keluar dari kepompong tersebut. Hasrat Kerajaan adalah melahirkan rakyat Selangor yang bermaruah dan berjati diri. Peruntukan sebanyak RM20 juta akan diberi dalam bentuk penempatan latihan vokasional dan kemahiran lain bagi membolehkan peserta mendapatkan pekerjaan.

vii. Program Jangkaan Kehidupan Bandar (Urban Living)
Kerajaan Negeri Selangor juga percaya perubahan corak pembangunan juga penting untuk ditelah. Ia melibatkan kajian tentang kualiti dan kuantiti pertumbuhan persekitaran dan hubung kait dan integrasi kawasan dengan kawasan lain serta corak ekonomi dan sosial setempat. Adalah penting untuk kita semua menjangka kehidupan pada masa akan datang agar adaptasi dapat dilakukan dengan lebih baik dan tidak berlaku kejutan dalam rancangan pembangunan serta budaya. Pada masa yang sama, alternatif perkampungan bandar (rubanisasi) juga boleh diteroka sebagai pilihan.

viii. Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan
Menganggap Rasuah sebagai sebagai satu musuh utama bagi Negara tidak memadai andai tiada usaha untuk menanganinya. Statistik bahawa Malaysia berada di tangga ke 56 indeks rasuah amat mengerikan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan. Sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan untuk masyarakat madani menggerakkan program ini dalam bentuk geran terhad. Pelapor kes rasuah dan penyelewengan di dalam agensi Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya dibuktikan juga akan diberikan hadiah oleh Kerajaan Negeri Selangor.

ix. Program Pengukuhan Demokrasi
Kerajaan Negeri Selangor juga percaya bahawa demokrasi harus mencerminkan kuasa rakyat dalam membuat pilihan adil dan bebas. Kuasa ini yang seharusnya ditunjuk melalui proses pilihan raya yang Adil dan Bebas sangat penting kerana rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang baik untuk masa depan generasi akan datang. Justeru, peruntukan sebanyak RM5 juta akan disediakan bagi geran terhad dalam mengukuhkan Proses Pilihan Raya yang Adil dan Bebas di Malaysia. Ini melibatkan aktiviti kesedaran dan juga latihan sukarelawan serta pemantau pilihan raya.

x. Program Pengukuhan Budaya
Pengukuhan budaya dalam masyarakat Malaysia adalah sangat penting kerana elemen budaya sarat dengan nilai tinggi berkaitan kehidupan dan kemanusiaan. Justeru, peruntukan sebanyak RM3 juta akan diberikan dalam bentuk geran terhad kepada para aktivis budaya untuk merancakkan aktiviti di negeri ini.

xi. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, RM3 juta akan diperuntukkan bagi Projek Konservasi Bakau serta Projek Pemeliharaan Permatang Kuartza Klang Gates yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

xii. Program Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat.
Peruntukan sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk mengkaji dan merancang program meningkatkan taraf kesihatan rakyat Selangor terutama warga emas dan orang kelainan upaya.

xiii. Program Dari Pejabat kepada Rakyat.
Sejumlah RM20 juta diperuntukkan kepada program bagi memastikan rakyat mudah mendapat perkhidmatan dari kerajaan negeri. Ini termasuk perkhidmatan on line di pejabat-pejabat tanah. Program ini juga bertujuan menggerakkan pejabat-pejabat tanah kepada rakyat bagi menggantikan cara konvensional dimana rakyat akan berpusu-pusu ke pajabat tanah untuk urusan tanah mereka. Ini termasuklah membuat semakan/carian hinggalah kepada membayar cukai-cukai tanah. Perkara ini penting kerana pada kebanyakan masa nilai cukai yang mahu dibayar jauh lebih rendah berbanding kos pengangkutan dan kos penyelenggaraan. Dengan cara ini akan mampu mengurangkan belanja mengurus yang akhirnya membawa kepada pengurangan terhadap cukai.

xiv. Penggerak Pembangunan Luar Bandar.
Peruntukan sebanyak RM22 juta diperuntukkan kepada program penggerak pembangunan Luar Bandar yang mana program ini mensasar kepada penduduk luarbandar yang berpendapatan kecil seperti petani dan nelayan. Program ini termasuk antara lain pembinaan infrastuktur dan program pemasaran hasil petani dan pekebun kecil.

xv. Program Peningkatan Kemahiran Penjawat Awam.
Penjawat awam harus meningkatkan kemahiran mereka setara dengan sektor swasta. Justeru Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi program latihan dan kursus bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapan penjawat awam.

xvi. Program Penerangan maklumat Negeri.
Peruntukan sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi memberi penerangan kepada rakyat tentang polisi dan program-program kerajaan negeri serta meningkatkan tahap informasi rakyat Selangor.

xvii Pembaikan Infrastruktur.
Sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutama para pengguna kemudahan awam. Ini termasuk dana bagi pembaikan jalanraya dan juga perparitan di seluruh negeri.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

PERUNTUKAN BELANJAWAN 2012

107) Berbalik kepada peruntukan belanjawan daripada hasil negeri, izinkan saya membentang jumlah dan pecahannya untuk negeri Selangor bagi tahun 2012.

108) Hasil Cukai bagi tahun 2012 dianggarkan bertambah sebanyak RM574,674,000, berbanding RM530,980,000 pada tahun lalu. Ini menunjukkan pertambahan sebanyak 8.23% atau RM43,694,000.

109) Bagi Hasil Bukan Cukai, pertambahan dijangka sebanyak RM187,439,380 atau 40.12%, daripada RM467,164,360 kepada RM654,603,740.

110) Namun, Terimaan Bukan Hasil dijangka berkurangan daripada RM431,855,640 kepada RM370,722,260, iaitu sebanyak RM61,133,380 atau 14.16%.

111) Dengan jumlah anggaran hasil untuk tahun 2012 ini, saya ingin mencadangkan RM1,600 juta atau RM1.6 billion sebagai jumlah peruntukan bagi Belanjawan 2012, iaitu kenaikan sebanyak 11.89% berbanding RM1,430 juta atau RM1.43 billion jumlah Belanjawan 2011.

112) Daripada jumlah ini, RM1,000 juta atau RM1 billion akan diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM600 juta diperuntukkan untuk belanja pembangunan.

113) Daripada RM1 billion belanja mengurus, agihan dibuat untuk emolumen sebanyak 32.3% atau RM323,085,383; bekalan dan perkhidmatan sebanyak 37.1% atau RM371,387,272; aset sebanyak 0.8% atau RM8,079,568, pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak 28.4% atau RM284,182,697 dan belanja lain sebanyak 1.5% atau RM13,265,080.

114) Sementara itu, daripada jumlah RM600 juta belanja pembangunan yang akan diagihkan kepada sektor-sektor utama, Sektor Infrastruktur akan diperuntukkan sebanyak 68% atau RM411,091,860; Sektor Sosial sebanyak 17% atau RM100,060,130; Sektor Ekonomi sebanyak 14% atau RM84,240,010 dan Sektor Perbandaran sebanyak 1% atau RM4,608,000.

115) Dengan mengambil kira Geran Selangorku sebanyak RM300 juta dan Belanjawan Berimbang sebanyak RM1.6 billion, belanjawan penuh Selangor bagi tahun 2012 ialah sebanyak RM1.9 billion.
Sidang Dewan yang dimuliakan,

116) Belanjawan 2012 Negeri Selangor adalah Belanjawan berimbang dengan hasrat yang tinggi untuk memastikan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan dapat diterjemahkan nilainya. Ia berbeza dengan Bajet Persekutuan yang banyak bersifat pemberian sekali (one-off). Sebaliknya Belanjawan 2012 ini dirancang untuk menekankan aspek kelestarian melalui peningkatan kemahiran serta pembangunan infrastruktur. Dalam jangka panjang Belanjawan ini dijangka akan mengurangkan penggantungan berterusan rakyat kepada bantuan kerajaan. Kerajaan Pusat pada masa yang sama mengamalkan budaya meminjam untuk berbelanja sedangkan reformasi yang diamalkan kerajaan Selangor bukan sahaja bijak berbelanja tetapi juga bijak mencari sumber pendapatan baharu.

117) Selangorku adalah mesej bahawa negeri ini adalah milik kita bersama. Hasil Negeri untuk Rakyat adalah mesej untuk kita bekerja dengan penuh tanggungjawab.

118) Saya memohon kepada ALLAH Subhanahu WaTa'ala agar kita semua diberikan petunjuk dan hidayah, kekuatan dan kesetiaan untuk melaksanakan keadilan kepada semua.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

119) Demikianlah pembentangan Belanjawan 2012 Negeri Selangor. Semoga dengan amanah dan 
tanggungjawab yang dipikul dengan baik dapat menjadikan negeri ini sejahtera dan diampuni Allah Subhanahu WaTa'ala (Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur).
Saya dengan ini mohon mencadangkan. Terima kasih.

Lampiran:
Lampiran 3: Sisipan Geran Selangorku untuk Bajet 2012

Salam Perkongsian dari kami,