Mata masih belum mahu lelap. Entah kenapa saya masih teringat-ingat Allahyarhamah Nur Fatimah, ibu dan ayahnya serta seluruh ahli keluarganya dalam menghadapi kehilangan ini. Sudah masuk dua hari Nur Fatimah pergi meninggalkan dunia yang sesingkat cuma ini. Hati meruntun sayu, air mata menitis laju, tambah-tambah bila membaca posting di blog sahabat-sahabat ukhti Khadijah yang sangat menyentuh hati.
Sedih hati yang memandang, sedih lagi hati yang mengalaminya sendiri…
Coretan ini bukan mahu menambah-nambah kesedihan di hati yang membaca, bukan jua mengungkit-ungkit apa yang telah berlaku, kerana hidup mesti diteruskan. Yang pergi tetap pergi, manakala yang masih hidup perlu meneruskan kehidupan memikul amanah yang dipertanggungjawabkan al-Khaliq.
Sebetulnya saya tidak pernah bersua dgn Allahyarhamah, tetapi acapkali mendengar namanya disebut-sebut, kerana Nur Fatimah merupakan zuriat kepada salah seorang sahabat seperjuangan saya dan sahabat-sahabat penggerak Nisa’ Serdang yang lain. Ukhti Khadijah dan Ustaz Ramadhan bukan asing bagi kami. Ukhti Khadijah adalah senior saya di sekolah menengah, beliau dan ustaz Ramadhan juga senior di universiti kpd salah seorang penggerak Nisa’ Serdang. Saya biasa bertemu dengan ukhti Khadijah sepanjang penglibatan saya bersama Nisa’ Malaysia dulu. Ukhti Khadijah juga merupakan naqibah usrah Nisa’ Serdang dan kami pernah hadir ke rumahnya untuk mengikuti usrah bernaqibahkan beliau. Kerana itulah, kami semua merasakan tempias kesedihan dan keperitan itu.
Seperkara yang saya kagumi berkaitan hal ini, sangat terserlah erti persahabatan dan persaudaraan Islam yang tercermin di sebalik ujian yang berlaku. Saya memerhatikan cukup ramai yang mengikuti perkembangan Nur Fatimah dari awal si kecil itu jatuh sakit, sehinggalah di saat pengebumiannya. Ketika saat sakitnya, cukup ramai mendoakan dan bersolat hajat agar Nur Fatimah kembali sihat dan ceria semula. Biarpun ramai yang tidak mengenali Ukhti Khadijah dan suaminya, namun mereka semua bersama-sama dalam menanggung rasa kesedihan, mencoretkan kata-kata sokongan dan kisah perkembangan Nur Fatimah di blog dan Facebook, memberikan sokongan padu pada pasangan itu dan ahli keluarganya, tak putus-putus menziarahi Nur Fatimah di hospital, bersama merasakan “ tidak dpt tidur dan tidak tenang hati” mengenangkan Nur Fatimah yang sedang sakit ketika itu,.. kemudian di saat-saat Nur Fatimah semakin lemah..seterusnya di saat perginya menemui Ilahi kemudian bersolat jenazah untuknya sehinggalah menghantarnya ke perkuburan (khabarnya lebih dari 300 orang yang bersama-sama bersolat jenazah).
Indahnya anugerah kasih sayang dan rasa persaudaraan yang ditumpahkan oleh al Khaliq di hati hamba-hambaNya yang mukmin.
"Daripada Nu’man bin Bashir r.a : Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu , apabilah satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”
Buat kak Dijah dan ustaz Ramadhan, kami doakan moga kekal kuat dan tabah menghadapi ujian ini. Moga dikurniakan zuriat pengganti yang soleh dan solehah., menjadi penyejuk di mata dan penawar di hati kalian. Nur Fatimah, pergimu tanpa sepalit dosa itu begitu membekas di hati insan-insan yang mengasihimu. Damailah Nur Fatimah di alam abadi.
Bagi kita yang masih hidup ini, sesungguhnya kematian itu sesuatu yang pasti.
Sebuah coretan rasa…
Pengarah Nisa’ Serdang
No comments:
Post a Comment