DALAM kehidupan, manusia sebagai hamba Allah sentiasa diuji dan
diduga dengan pelbagai cabaran hidup. Ujian tidak sama, ada yang
berbentuk kesusahan, kesenangan dan kekayaan. Semua harus dihadapi
dengan penuh kesabaran agar kita tergolong di kalangan hamba Allah yang
menuju ke jalan lurus dan diredai-Nya.
Ujian berbentuk kesusahan dan kesulitan sesetengahnya boleh dihadapi
manusia dengan tabah dan sabar. Bagaimanapun, ujian dalam bentuk
kesenangan dan kekayaan menjadikan manusia lupa dan lalai untuk
mengingati Allah. Kedua-dua ujian dan dugaan ini adalah untuk menguji
kesabaran sama ada manusia itu ingat atau lupa kepada Allah.Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155) Setiap manusia, khususnya orang beriman tidak akan terlepas daripada cubaan dan ujian Allah. Ada yang mampu menghadapinya dan ada yang tidak mampu menyebabkan dugaan penyakit rohani dan tekanan jiwa kepada seseorang.
Ujian dan cubaan kesenangan dan kekayaan juga untuk memperlihatkan manusia sama ada kekayaan harta dan wang ringgit itu digunakan ke jalan betul dan diredai Allah seperti berzakat, bersedekah dan menginfakkan harta kepada fakir miskin. Sebenarnya kesenangan dan kekayaan yang diberikan kepada seseorang adalah ujian untuk melihat sifat amanah seseorang menguruskan harta dan kekayaannya. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi) Hakikatnya, ujian dan dugaan adalah untuk membersihkan, mengangkat darjat, menghapus dosa, memperlihatkan kesabaran dan ketaatan seseorang kepada Allah. Ini juga akan membentuk peribadi seseorang agar tahan diuji dengan ujian hidup, melatih diri agar diri bertambah sabar, tabah dan berpendirian teguh bagi menghadapi musibah.
Seseorang manusia itu diuji dengan kesusahan dan kesengsaraan sesuai dengan kesanggupannya. Allah tidak membebankan seseorang itu dengan bebanan orang lain. Segala kesusahan dan kesengsaraan itu adalah untuk menguji kesabaran selama ujian itu. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153) Oleh itu, orang beriman banyak menghadapi cubaan dan dugaan dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Segala-galanya haruslah ditempuh dengan sabar dan tabah tanpa putus asa, kecewa dan pantang menyerah kepada takdir Allah atau nasib semata-mata. Sebagai orang beriman, kita wajib berusaha, berdoa dan memohon petunjuk daripada-Nya.
Menurut tokoh Islam, Ibnu Jauzi, orang yang tidak mengerti akan menyangka bahawa rasa tertarik serta tabiat untuk cenderung kepada dunia yang sangat besar pengaruhnya dalam diri manusia. Sedangkan mengingati kehidupan akhirat dianggap masalah luar dan tabiat manusia itu sendiri. Kecenderungan daripada tabiat cinta kepada dunia bagai air mengalir secara semula jadi menuju muara. Hanya dengan cara menggugah kehendak jiwa dan sikap keras serta sabar mampu menguatkan kekuatan akal.
Daripada pandangan itu, jelaslah harta dan kekayaan dunia mempunyai pengaruh untuk menarik manusia mendapatkannya. Sedangkan semua itu jika tidak diurus dengan baik dan amanah, akan mendatangkan musibah seperti melakukan rasuah dan penyelewengan, suatu ujian daripada Allah kepada hamba-Nya. Hanya dengan kekuatan jiwa, amanah, sabar dan pemikiran yang sihat mampu menghindarkan manusia daripada ujian berkenaan.
Kekuatan rohani dan jiwa meliputi penghayatan agama adalah benteng penyakit rohani yang mampu menghindarkan gangguan kejiwaan ke atas perasaan seseorang yang dapat dilihat daripada rasa tidak tenteram, muram, pilu, sedih, cemas, gelisah, murung, susah hati, jiwa tidak tenteram yang menyebabkan hati dan diri tidak berdaya untuk mengatasi persoalan dihadapi. Semua ini akan mengganggu jasmani dan emosi seterusnya menyebabkan gangguan kepada seluruh tubuh.
Dalam hal ini, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya.” (Riwayat Muttafaq’ alaih) Justeru, bagi mengelakkan penyakit rohani dan kegelisahan jiwa, jauhi sifat yang boleh merosakkan hati nurani. Antaranya hasad dengki, sombong, riak (bangga diri), mengumpat, zalim (kejam), berdusta, marah, mencaci, bakhil (kikir), mungkir janji, tidak amanah, cintakan dunia dan munafik (nifak).
Bagi merawat penyakit rohani dan kegelisahan jiwa secara
keseluruhan, dekatkan diri dengan mengingati Allah, menunaikan solat,
taubat, bermujahadah, muhasabah diri, muraqabah, takwa, amanah, sabar,
qana’ah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah dan menjauhi makanan dan
minuman yang haram.
Jadikan takwa sebagai pakaian dan perlindungan bagi menghindar hati dan diri daripada segala penyakit jiwa dan rohani. Perintah Allah supaya bertakwa bukan hanya untuk umat sekarang, malah kepada umat terdahulu. Apabila sesuatu umat itu dibekalkan dengan al-Quran dan kitab sebagai panduan, maka di situlah amalan takwa diperintahkan. Para rasul diperintahkan supaya menyeru manusia bertakwa dan mereka menjadi contoh dan ikutan dari segi amalan kepada umatnya. Lantaran itu, tiada sesuatu kebaikan di dunia atau di akhirat, sama ada kebaikan zahir atau batin, melainkan takwa yang menjadi perintis dan jalan ke arah mendekatkan kita kepada- Nya. Begitu juga sebaliknya, tiada sesuatu kejahatan zahir atau kejahatan batin, melainkan takwa yang menjadi pendinding melepaskan kita daripada bencana-Nya.
Dengan bertakwa kita terpelihara daripada tekanan hidup, rezeki sentiasa melimpah-ruah dan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang amat mulia di antara kamu dalam pandangan Tuhan ialah orang yang lebih takwanya.” (Surah Al-Hujarat: 13) Dalam hal ini, kita wajar membersihkan hati daripada segala sifat kejahatan bagi mengelakkan penyakit rohani dan jiwa. Didiklah hati supaya sentiasa bersih dan berbicara lunak, sentiasa memohon pertolongan Allah, berbelas kasihan sesama insan, sentiasa memaafkan orang lain, menyegerakan taubat, memohon taufik untuk sentiasa beramal soleh, menghindari kejahatan, sabar dan reda menghadapi segala ujian dan dugaan-Nya.
Imam Malik pernah berkata: “Takwa kepada Allah, dan janganlah engkau
padamkan cahaya takwa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu dengan
mengerjakan dosa.” Antara kebaikan takwa adalah penyertaan Tuhan dalam
pemeliharaan diri kita, mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat,
kekuatan keimanan yang dapat membuahkan amal soleh, dijanjikan akan
dimasukkan ke dalam syurga Allah. Sesungguhnya, takwa dengan
sebenar-benarnya akan menghindari segala ancaman penyakit rohani dan
kegelisahan jiwa yang banyak menduga dan menguji manusia akhir zaman.
Manusia yang sihat hati dan jiwanya dengan keimanan akan selamat di
dunia dan akhirat.
sumber: Harian Metro
sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment