Monday, September 06, 2010

Akhir Ramadan saat umat Islam nilai KPI ketakwaan





UCAPAN selamat tinggal Ramadan adalah nisbah kepada masa berbaki tidak beberapa hari lagi kerana bulan puasa sudah hampir kepada penghujungnya dan perkara perlu diberi perhatian ialah pencapaian sepanjang bulan ini. Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata Ramadan bakal melabuhkan tirai sewajarnya menjadi saat umat Islam menilai indeks prestasi utama (KPI) ketakwaan menjadi misi sebulan berpuasa.


Katanya, ulama mendefinisikan takwa sebagai menjaga betul-betul perintah serta larangan Allah, manakala pengertian daripada sudut istilah ialah melakukan semua perkara baik mungkin. Puasa bukan setakat niat, tidak makan dan tidak minum kerana itu baru sedikit saja. Puasa yang sebenar ialah puasa tangan, kaki, mulut dan, telinga.


Persoalannya apakah puasa kita menepati semua syarat ditetapkan itu. Ramadan tahun ini sudah hampir tamat, begitu juga keberkatan dan kebaikan yang menjadi rebutan sepanjang bulan mulia ini. Oleh itu, tibalah masanya untuk bermuhasabah dalam melaksanakan ibadat, cukup ke atau sebaliknya, katanya. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk Selamat Tinggal Ramadan kepada kakitangan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) pada majlis tazkirah di surau NSTP, baru-baru ini. Zamihan berkata, KPI takwa boleh dinilai melihat kepada tiga aspek iaitu tahap keimanan sama ada menunjukkan peningkatan, tiada perubahan atau semakin menurun; rasa bersyukur dan nampak perubahan itu dengan jelas.




Peningkatan keimanan dapat dirasa apabila hati selalu terpanggil melakukan perkara baik dan setiap dilakukan mesti ada hubungan dengan Allah. Tetapi jika ibadat dilaksana dan pada masa sama maksiat tidak ditinggalkan, maka iman masih belum kuat. Itu kesan puasa yang tidak mengikut spesifikasi kerana jika ikut syarat yang betul, setiap amalan dilakukan pada tahap paling terbaik. Malangnya, ramai yang puasa tidak mencapai KPI, sebab itu hati tidak rasa nak lakukan perintah Allah, katanya.


Katanya, ciri amalan itu diterima dan ada penambahbaikan kepada diri ialah apabila sikap berubah suka kepada kebaikan serta istiqamah dengan meletakkan setiap urusan kerana Allah. Justeru, ucapan selamat tinggal Ramadan menjejaki jalan yang benar. Kebencian serta berasa jijik kepada maksiat juga antara ciri KPI ketika Ramadan berjaya mencapai objektif. Beliau turut memberi analogi mereka yang amalan puasa diterima seperti ahli perniagaan yang menjalakan urus niaga berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda. Mahukah kita kerja satu atau dua bulan, tetapi tak dapat gaji. Mesti mogok. Mahukah ke kita penat berpuasa, melakukan kebajikan tetapi akhirnya tidak dapat apa-apa. Maka, marilah bermuhasabah melihat tanda Allah terima ibadat kita atau tidak.


Fasa akhir ini adakah kita berjaya mendapat kad keahlian kelab takwa eksklusif yang meletakkan syarat iman, ilmu dan kemahiran melakukan ibadat. Jika tinggal Ramadan ini, tetapi tiada petunjuk tertentu, ertinya ibadat kita salah dan tidak diterima Allah, katanya.




sumber : bharian.

No comments: