Sunday, September 27, 2009

Perutusan Aidilfitri

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Wa Lillahil Hamd.

Taqabbalallahu minna wa minkum.Bismillahirramanirrahim. Assalamu’alikum WBT.Marilah kita bersama-sama memanjatkan segunung kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih diberi ruang nafas berserta Iman dan Islam. Sesungguhnya tanpa kekuatan dan kasih sayangnya, kita tidak mampu mengecapi nikmat yang amat bernilai ini.

Selaut selawat dan salam ditujukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. utusan Allah, kekasih-Nya, penutup dan penghulu segala Nabi. Kepada ahli bait baginda yang suci dan penuh kemuliaan, para sahabat baginda, pendukung risalah Islam yang menggadaikan harta dan jiwa mereka semata kerana Allah dan Islam.

Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Baqarah yang intipatinya menyatakan bahawa tujuan dan matlamat akhir madrasah ramadhan adalah untuk mencapai ketaqwaan. Alangkah ruginya kita sebagai umat Muhammad S.A.W. andai Ramadhan yang telah berlalu tidak mampu meningkatkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T malah tiada sebarang perubahan terhadap amal soleh kita. Tiadalah kedudukan yang dinilai oleh Allah S.W.T terhadap para hambanya melainkan sifat taqwa.

Sahabat yang dihormati sekalian, bersempena Syawal 1430 Hijrah ini, marilah sama-sama kita mengukuhkan ikatan ukhuwah kita sesama ahli. Nisa’ tidaklah ditubuhkan melainkan untuk menyatupadukan hati-hati seluruh da’ie di bumi Allah Azzawajalla ini. Ukhuwah dan perpaduan yang telah terbina mestilah kita pertahankan dengan apa cara sekalipun, ibarat menggenggam bara sehingga menjadi abu. Sebarang anasir yang boleh memecahbelahkan ukhuwah kita, perlulah kita banteras bersama. Indahnya hidup ini andai kita sentiasa berada di bawah payungan rahmat Allah S.W.T hasil daripada ukhuwah fillah kita. Pimpinan ditaati, rakyat disayangi. Nisa’ disanjungi, ahli berbakti. Tua dan muda dihormati, senior dan junior dikasihi.

Sebarkanlah salam antara kita dan janalah sikap toleransi dan berlapang dada dalam setiap perkara. Kelak, amanah ini akan dijulang sebaiknya dengan semangat yang digarap bersama mudah-mudahan kita akan terus istiqamah menyemai bakti bersama.Ambillah pengajaran Syawal ini untuk kita terus meningkatkan amalan soleh kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya masyarakat diluar sana terutama remaja khususnya amat menantikan sentuhan kita dalam proses pembentukan memanusiakan manusia, mengajak mereka kepada kebaikan. Jalankanlah puasa enam hari di bulan Syawal agar kita memperoleh pahala setahun berpuasa.

Akhir bicara, kami MT Nisa’ Serdang dan seluruh barisan kepimpinan Nisa’ Serdang sesi 2009/2011 menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh penggerak dan ahli Nisa’ Serdang atas sebarang kesilapan dan keterlanjuran yang tidak disenangi.Minal ‘aidin wa fa’izin. Semoga kehidupan kita semua diberkati oleh Allah S.W.T dunia dan akhirat.
Wassalam.

Saff Pimpinan ,
Nisa’ SerdangSesi 2009/2011

No comments: