Sunday, September 27, 2009

Tazkirah Syawal


DALAM kalendar Islam, bulan yang mengiringi Ramadan adalah Syawal. Dalam tradisi masyarakat Arab jahiliah pada zaman awal kedatangan Islam, mereka mempunyai persepsi negatif terhadap Syawal. Mereka menganggap sial pada bulan ini dan kerana itu mereka enggan melangsungkan perkahwinan dalam bulan ini. Tetapi, persepsi negatif itu dihapuskan oleh Islam apabila Rasulullah SAW bernikah dengan Aisyah pada Syawal yang mulia ini.Perkataan Syawal berasal dari akar kata Arab – Syala Yashulu Shaulan – bermaksud naik, meninggi atau meningkat. Dalam pengertian, orang Arab biasa menyebut Syala al-Mizan yang bererti timbangan naik. Justeru, timbul persoalan yang sewajarnya menjadi bahan renungan bagi setiap Muslim iaitu mengapa bulan yang mengiringi Ramadan dinamakan sebagai Syawal, bulan yang naik atau meningkat? Di sini ada beberapa kemungkinan jawapan yang boleh dicari untuk dijadikan satu bahan renungan semua.

Pertama, kedudukan dan darjat Muslim sudah meningkat di sisi Allah. Dia berjaya menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan, sekaligus berjaya meraih keampuanan Ilahi sesuai dengan maksud sabda Rasulullah: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan keredaan Ilahi, nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim).

Kedua, kedatangan Syawal pada hakikatnya adalah satu isyarat yang jelas terhadap keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim. Barangkali yang dimaksudkan Syawal itu adalah bulan peningkatan iman, takwa dan amal salih selepas umat Islam menghadapi ujian ibadat puasa dan tarbiah jasmani serta rohani selama sebulan penuh Ramadan. Kalaulah sepanjang Ramadan, umat Islam begitu mudah bangun awal untuk bersahur, berpuasa, menunaikan solat subuh berjemaah di masjid dan di surau, sewajarnya di bulan Syawal ini dan bulan berikutnya turut menyaksikan istiqamah dan penerusan amalan salih yang biasa dilakukan pada Ramadan sebelumnya.Kalau tidak, bererti bulan suci Ramadan sebagai bulan tarbiah yang baru berlalu tidak memberi apa-apa makna.


Kalaulah bulan mulia Ramadan mempamerkan kerajinan umat Islam membaca dan mendalami al-Quran, malah begitu mudah untuk memberi sumbangan ikhlas, menjamu orang berbuka puasa, menderma kepada golongan fakir miskin, maka seharusnya pada Syawal dan bulan lain, mereka tetap terus melaksanakan amalan salih itu dengan penuh keikhlasan dan keinsafan demi mengharapkankeredaan Ilahi. Jika tidak, bermakna apalah ertinya kuantiti besar amalan salih yang dilakukan sepanjang Ramadan. Muslim dianjurkan berpuasa sunat enam hari pada Syawal. Puasa sunat Syawal ini amat besar ganjarannya.Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian disusuli dengan berpuasa enam hari pada Syawal, maka dia seolah-olah telah berpuasa selama setahun.” (Hadis riwayat Muslim)Di samping itu, perlu diingat bahawa musim haji tiba dengan kehadiranSyawal ini. Firman Allah bermaksud: "Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi (Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah)." (Surah al-Baqarah, ayat 107)Dari segi waktu atau miqat zamani, Syawal adalah bulan bermula musim haji. Ini bermakna berjaya melaksanakan ibadat puasa selama sebulan .

Ramadan, kini bermula pula perlaksanaan ibadat haji bagi sesiapa yang belum lagi menunaikan ibadat itu. Jelas di sini bahawa ada peningkatan amal iaitu dari ibadat puasa kepada ibadat haji. Pada masa yang sama, umat Islam juga menyambut Syawal sebagai bulan kemenangan dan kegembiraan. Mereka menzahirkan kejayaan ini kerana kemenangan selepas berpuasa penuh sebulan Ramadan, di samping mereka mempamerkan kegembiraan kerana merayakan Aidilfitri yang disyariatkan Allah kepada umatnya. Kemenangan dan kegembiraan yang diraikan oleh umat Islam pada 1 Syawal lebih kepada suatu lambang kesyukuran mereka ke hadrat Allah yang Maha Pemurah. Oleh sebab itulah, perayaan menyambut kemenangan dan kegembiraan ini dilakukan dengan amalan takbir, tasbih dan tahmid memuji Allah secara beramai-ramai, kemudian disusuli pula dengan solat Aidilfitri berjemaah dan mendengar khutbah hari raya.

Dalam menyambut Aidilfitri, masyarakat Islam yang benar-benar menghayati roh Syawal ini pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan ini dengan amalan menziarahi sanak-saudara, kaum kerabat terdekat dan sahabat handai yang akrab untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Pada waktu sama, kita sewajarnya sedar bahawa Islam menuntut umatnya agar bersederhana dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam aspek menyambut Aidilfitri yang penuh meriah ini.

Begitulah roh Syawal dan Aidilfitri yang wajib difahami setiap Muslim supaya dapat memanfaatkan semangat peningkatan ibadat dan amal salih yang terkandung di dalamnya.Oleh itu, tiada sebab dan alasan lagi bagi umat Islam pasca Ramadan untuk kembali melakukan dosa dan berpaling dari petunjuk Ilahi. Kesucian diri dan keluhuran akhlak wajib dipelihara pada setiap masa dan ketika sesuai dengan prinsip istiqamah yang dianjurkan oleh Islam.Hal ini kerana satu kebaikan yang dilakukan hanya satu langkah untukmenuju kepada Allah. Oleh demikian, setiap Muslim tidak seharusnya berhenti di situ saja, sebaliknya berusaha dan bermujahadah untuk terus melangkah ke hadapan dari satu tahap ke tahap yang selanjutnya dalam perjalanan yang masih jauh menuju kepada keredaan Allah.


PENULIS ialah Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Islam Universiti Darul Iman Malaysia, kampus Kusza Gong Badak, Terengganu

No comments: