MUQADDIMAH
Konsep Ukhwah Islamiyyah ialah
persaudaraan atau kasih saying yang bermatlamatkan mardhatillah yang
mana ianya merupakan kurniaan atau pemberian daripada Allah swt. Dia
melontarkannya kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman
Allah swt yang bermaksud:“Dan
Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah
engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau
tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan
tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya
Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)
KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH (PERSAUDARAAN):
Ukhuwwah
atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan
sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan
rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah –
yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang
mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan
keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).Di
dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi
tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi
yang menghubungkan anggota masyarakat.Harakah
Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan
oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu
bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang
lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota
jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut
menanggung penderitaannya.Bagi
memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan
sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah
menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut
dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah
satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di
bibir atau teori semata-mata.
1. Ukhuwwah (yang
terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain)
mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada
Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:“Sesiapa
yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah
mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya
dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila
(temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:“Engkau
mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan
mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan
di waktu kesusahan”.
2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah
merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan
saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut
sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:“Jika
sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan
memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari
baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di
dalam masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Sesiapa
yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah
melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang
memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan
memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang
menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara
rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong
seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.
4.
Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi
kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini
Rasulullah s.a.w bersabda:“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).
5. Ukhuwwah juga bererti
kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan
perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:“Janganlah
kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling
belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan
janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu
hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu
memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:“Janganlah
kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara
bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)”. (Hadis riwayat Muslim).Rasulullah s.a.w juga bersabda:
“Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara
perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong
memenuhi bejana saudaramu dengair”. (Hadis riwayat ).Rasulullah s.a.w juga bersabda:
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesiapa
yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan
menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).
Baginda juga bersabda:“Doa
seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu
tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di
sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia
mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang
ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).
No comments:
Post a Comment