Ikan lumba-lumba iringi kapal sebelum serangan
STESEN televisyen Turki menunjukkan askar Yahudi ceroboh kapal Mavi Marmara ketika cuba menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Peristiwa sedih, lucu, pelik tersirat pengajaran buat aktivis kemanusiaan ke Gaza
(Catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang komando Israel)
KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi kami kerana di situlah
semua sukarelawan yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza
menerima pendidikan yang sangat berguna, sekali gus melatih jiwa dan
hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.
Perjalanan itu, meskipun tidak sempat menghabiskan misi kerana
diserang komando Israel, cukup bermakna dalam membuka pelbagai pintu
rahsia. Semua petugas umpama baru tamat dalam satu proses pendidikan
mengenali erti kemanusiaan dan kehidupan sebenar sebagai hamba Allah.
Empat bulan lalu, hampir setiap hari saya membaca petikan Surah
Al‘Imran yang bermaksud: “Para syuhada dianggap hidup di sisi Allah dan
sentiasa meminta izin daripada-Nya untuk balik ke dunia dan bertemu
dengan pejuang yang masih hidup bagi mengirimkan pesanan supaya jangan
takut serta sedih.”
Ketika ayat itu dibacakan setiap hari, sebenarnya saya masih
menaruh harapan supaya dibenarkan menyertai misi itu dan Alhamdulillah,
berkat izin-Nya, saya akhirnya mendapat kesempatan itu sebagai
rombongan terakhir bersama beberapa rakan lain selepas lapan petugas
sudah pun bertolak lebih awal ke Istanbul.
Pada 22 Mei, kami bersama dua wakil media Astro Awani, tiba di
lapangan terbang di Istanbul dan terpaksa bergegas, berlari ke kaunter
tiket untuk mendapatkan pesawat ke Antalya, sebuah pelabuhan di Selatan
Turki.
Keadaan kelam-kabut itu semata-mata untuk mendapatkan pesawat
domestik dan ketika itu mulut ini tidak berhenti berzikir dan berdoa
supaya kami berpeluang dan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya
kerana tidak mahu terlepas kumpulan rombongan dan akhirnya, melegakan
apabila kami dapat masuk ke pesawat lima minit sebelum ia berlepas.
Dalam pesawat itu, saya duduk di sebelah jurukamera Astro Awani,
Samsul Kamal Abdul Latip yang jelas kelihatan masih terpinga-pinga dan
seakan belum tahu apa kemungkinan bakal dihadapi dalam misi ini
sedangkan dalam pemikiran saya sudah terbayang beberapa perkara yang
boleh berlaku termasuk diserang oleh tentera Israel.
Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga kami semua tabah
menghadapi sebarang kemungkinan terutama apabila membayangkan kapal
kami mungkin dibom, ditawan atau diheret sekiranya memasuki perairan
Israel.
Di Antalya, kami ditempatkan di sebuah kompleks sukan selama empat
hari iaitu sejak 23 hingga 27 Mei kerana terpaksa menunggu rombongan
dari Eropah dan sepanjang tempoh itu, semua sukarelawan terpaksa tidur
bertilamkan lantai di ruang terbuka.
Subuh pertama kami di kompleks itu, azan dilaungkan oleh
sukarelawan dari Malaysia untuk mengajak semuanya bersembahyang jemaah
kerana sebelumnya dilihat kebanyakan orang hanya solat sendirian dan ia
juga menjadi detik pemula di mana semuanya bersatu, malah saya sendiri
berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh dalam bahasa Arab di depan
semua orang.
Masih saya ingat, ketika kuliah itu, saya membacakan sepotong ayat
– “Hasbunallah Wanikmal Wakil” yang bermaksud memadailah Allah sebagai
wakil kami. Ayat itu juga yang dilihat sentiasa disebut di mulut,
menjadi zikir ramai orang termasuk mereka dari negara lain sepanjang
memijakkan kami di kapal Mavi Marmara.
Masih jelas terbayang di mata saya, begitu ramai masyarakat dari
serata dunia termasuk Eropah yang datang sendiri ke kompleks sukan itu
dan merayu mahu turut serta dalam rombongan itu tetapi khabarnya hanya
sebahagian dibenarkan.
Sebenarnya, banyak kisah menarik untuk dikongsi bersama sepanjang
kami di kompleks sukan itu termasuk jeritan seorang warga tua dari
Turki ketika dikatakan rombongan itu bakal ditangguh lagi – “Tiga tahun
pun akan kami tunggu!”
Di kompleks sukan itu, sempat juga saya berbual dengan anak,
Syaima Amatullah, menerusi laman facebook dan dia ada bertanya – “Abah
takut tak?” dan jawab saya ketika itu – “Bukankah abah selalu baca ayat
dari Surah Al-Imran.” Kenyataan saya itu dipanjangkan anak saya kepada
hampir semua rakannya dalam laman web itu.
Tanggal 27 Mei, bermulalah perjalanan jihad kami apabila dibawa
menaiki bas yang diiring polis serta disambut meriah oleh ribuan
penduduk bandar Antalya dengan memenuhi tepi jalan, melambai serta
mengibarkan bendera Turki dan Palestin, selain sebahagiannya
membunyikan hon, riuh rendah sama seperti suasana ketika majlis
perkahwinan di negara itu.
Terpegun seketika apabila tiba di kapal Mavi Marmara kerana
berbeza sekali dengan gambar yang saya lihat. Tak sangka rupa-rupanya
kapal setinggi empat setengah tingkat itu begitu besar. Pemeriksaan
kastam untuk masuk ke kapal begitu ketat sehinggakan kabel pengecas
telefon bimbit tiga pin turut dirampas kerana dilihat berbeza dengan
kabel dari negara lain yang hanya ada dua pin.
Masuk saja dalam kapal, saya bersama beberapa rakan lain membuat
sujud syukur. Sebahagian yang lain kelihatan masih terpaku kerana
seakan tidak percaya akhirnya dapat memijakkan kaki di kapal itu.
Ketika itu, ada seorang ahli tarikat berusia 84 tahun berkata - “Aku ke
sini untuk turut serta dalam perjuangan Palestin. Apa guna sekadar
berzikir jika tidak berjuang bersama.”
Kami diberi makan ala kadar. Sebenarnya jika tak diberi makan pun
tak apa sebab tak langsung rasa lapar. Kami makan sekadar untuk
mengelakkan lemah dan tidur pun sekadar untuk memastikan badan
bertenaga.
Perjalanan kami terhenti di Cyprus pada 28 hingga 30 Mei kerana
menunggu kapal lain untuk menyertai konvoi. Sepanjang tiga hari itu,
pelbagai aktiviti dijalankan termasuk ceramah oleh ulama di dalam
kapal. Apabila kapal bergerak kembali, satu amaran sudah diberi pada
malam 30 Mei kerana mereka nampak ada lampu berkelip di udara yang
disyaki helikopter.
Kami juga nampak seakan ada lampu kapal lain bagaikan cuba
menghampiri. Ketika itu kami diminta berkumpul dalam kumpulan 15 orang
dan dibekalkan jaket keselamatan serta satu topeng gas untuk dikongsi
sesama ahli kumpulan.
Jam 1 pagi, keadaan kembali tenang kerana tiada lagi tanda kapal
berhampiran, namun kami diminta tidur di luar untuk bersedia terhadap
sebarang kemungkinan. Jam 3 pagi, kami dikejutkan dengan sorakan takbir
lantaran kumpulan di belakang kapal melihat ada sekumpulan ikan
lumba-lumba mengiringi kapal.
Episod serangan bermula sejurus selepas solat Subuh yang ketika
itu dirasakan Subuh terakhir kami. Kelihatan beberapa bot menghampiri
kami dan helikopter yang berlegar melemparkan bom asap pemedih mata,
namun peliknya ia langsung tidak menjejaskan kami kerana tiap kali bom
dilempar, ketika itu juga angin akan bertiup kencang menolak asap.
Meskipun keadaan huru-hara dan seakan tidak terkawal, kebanyakan
kami tidak terasa gentar. Saya sendiri ditembak di bahu kanan dengan
peluru getah tetapi sakitnya hanya sekejap. Malah, ketika ditawan,
beberapa kali saya dipijak dan ditendang oleh komando Israel dengan
kuat, namun tak pula terasa sakit atau ada kesan lebam.
Selepas ditawan dan diikat dengan tali kabel selama lebih 15 jam,
ada di kalangan kami yang berpuasa, namun tidak pula terasa lapar atau
lemah. Ketika itu kami hanya ingat Allah. Kekejaman komando Israel
bukan sekadar tak beri makan minum, malah tak juga benarkan ke tandas
sehingga ada yang terkencing dalam seluar.
Air pun hanya diberi sebotol untuk dikongsi beramai-ramai. Itupun
dalam keadaan tangan diikat. Bayangkan betapa kuatnya talian
persaudaraan di kalangan kami, meskipun ada yang berlainan agama
apabila sesama kami menuang air ke mulut rakan yang lain bersilih
ganti.
Di Ashdod, pelabuhan di Israel, kami tidak lagi menerima layanan
seburuk di kapal kerana ketika itu kami diuruskan oleh pegawai dari
Kementerian Dalam Negeri Israel yang nyata terpaksa melayan dengan baik
lantaran sudah menerima tekanan dari kedutaan lain.
Dibawa ke penjara yang masih baru, kami ditempatkan dalam sel
besar dengan empat orang sebilik. Ketika itu, sesuatu yang sangat
melegakan apabila kami dapat mandi dan membersihkan diri. Tidak berapa
lama ditahan kerana akhirnya kami dibebaskan selepas dikunjungi wakil
kedutaan Jordan yang memang ditugaskan untuk membebaskan sukarelawan
Malaysia dan Indonesia.
Teringat lagi bagaimana berani sekali seorang Ahli Parlimen Kuwait
ketika menaiki bas untuk ke Jordan. Sempat dia turun semula ke tangga
dan menjerit minta dia dibawa kembali ke sel dengan alasan tidak mahu
dibebaskan. Jelas sekali dia seakan mencabar pegawai Israel.
Lucu pula melihat akhirnya pegawai Israel itu pula yang merayu
meminta dia naik semula ke dalam bas. Itu semua akibat tekanan kuat
yang diberikan kedutaan negara lain yang begitu ramai berkumpul di
situ.
Masih sebak di hati ini apabila mengenangkan rakan dari Turki yang
tak dibebaskan ketika kami sudah menaiki bas kerana kedutaan mereka
belum tiba. Salah seorang warga Turki ada memanggil saya, memeluk dan
menangis sambil menawarkan duit poket kerana beranggapan semua barang
termasuk dompet saya sudah dirampas.
Sejak dibebaskan pada jam 4.30 petang, Subuh keesokan harinya baru
kami sampai di sempadan Israel – Jordan, dan sesuatu yang sangat
mengujakan apabila terpandang bendera Malaysia dikibarkan. Ketika itu
terasa betapa pemimpin negara kita begitu mengambil berat, malah ketika
kami menghubungi Perdana Menteri yang berada di Laos pada jam 2 pagi,
beliau masih berdaya menjawab telefon dan menitip pesan kepada kami.
Orang pertama yang saya hubungi sejurus tiba di Jordan dan diberi
hadiah sebuah telefon bimbit jenama Nokia dengan kredit panggilan
sebanyak sembilan dinar ialah isteri yang kedengaran masih tenang
meskipun dalam beberapa laman web sudah beranggapan saya sudah tiada.
Banyak sebenarnya pengajaran yang diperoleh daripada semua
kejadian ini di mana ia pasti menguatkan iman kami selain sedar kita
hanya insan kerdil yang sudah diaturkan Allah nasibnya serta bersatu
seluruh bangsa dunia untuk menentang kekejaman Israel.
(Penulis, bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif
adalah antara 10 sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan
kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini)